top of page
  • nabalunews

Koperasi di Kadamaian sahut hasrat Ewon tingkatkan kapasiti perniagaan melalui adaptasi digital


17 eptember 2024


KOTA BELUD: Koperasi di Kadamaian menyahut hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick untuk meningkatkan kapasiti perniagaan mereka melalui adaptasi digital.


Bagi membantu merealisasikan aspirasi itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pantai Barat Utara (PBU) Wilayah Pantai Barat Utara (PBU) menganjurkan program tinjauan bagi menilai adaptasi digital dalam operasi perniagaan koperasi di kawasan Kadamaian, khususnya di Kampung Sayap dan Kampung Tambulion. Program ini bertujuan membantu koperasi tempatan meningkatkan kapasiti perniagaan mereka melalui penggunaan teknologi digital.


Program ini melibatkan lawatan ke premis perniagaan runcit koperasi, di mana pegawai-pegawai SKM meninjau operasi harian dan prestasi koperasi.


Pengurus operasi koperasi turut membentangkan laporan prestasi dan rekod kewangan koperasi.


Di samping itu, pegawai dari SKM memberikan taklimat serta bimbingan berkaitan permohonan geran pembangunan koperasi.


Antara yang hadir ialah Dr. Rizoh Bosorang, Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri KUSKOP, Anasty Majus selaku Penolong Pengarah SKM Wilayah PBU, Yasmin Dawani selaku Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Kanan SKM PBU, Shirley Nasun, Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi SKM PBU serta rombongan.


Bagi pihak koperasi di Kadamaian, antara yang hadir ialah Jesmon Yamin sebagai Setiausaha Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Koperasi Kopensa Berhad, Dizzyrion Aming, Pengurus Operasi Koperasi Kopensa Berhad dan Jaimon Peturus, Pengurus Pemasaran Koperasi Kopensa Berhad, serta beberapa ahli koperasi turut hadir.


Lawatan ini adalah susulan kepada permohonan bantuan pembangunan koperasi yang dibuat oleh Koperasi Kemajuan Komuniti Sayap Kota Belud Berhad (KOPENSA) kepada YB Datuk Ewon Benedick.


Objektif utama lawatan adalah untuk menilai potensi perniagaan yang dijalankan koperasi serta memberi bimbingan dan galakan untuk meningkatkan lagi skala perniagaan mereka. Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan gerakan keusahawanan melalui koperasi.


Hasil tinjauan mendapati bahawa KOPENSA telah mengambil inisiatif untuk mengadaptasi teknologi digital dalam operasi mereka.


Koperasi menggunakan sistem pengiraan stok, rekod kewangan, dan pemantauan transaksi melalui sistem POS (Point of Sale) yang diintegrasikan dengan telefon pintar. Adaptasi ini nyata telah mempermudah dan mempercepatkan urusan perniagaan harian koperasi.


Sehingga Jun 2024, terdapat 24 koperasi berdaftar di kawasan DUN Kadamaian, Kota Belud.


KOPENSA, yang didaftarkan pada 10 Ogos 2023, telah mula menjalankan operasi perniagaan runcit sejak 1 Disember 2023.


Dalam tempoh tersebut, koperasi ini berjaya mencatatkan jualan lebih RM73,000 dengan keuntungan kasar hampir RM19,000 setakat Ogos lalu.


KOPERASI KOPENSA mempunyai 24 anggota, yang majoritinya terdiri daripada golongan belia dengan purata umur sekitar 28 tahun. Ini menunjukkan potensi besar untuk pertumbuhan koperasi dalam komuniti yang dipacu oleh golongan muda dan berwawasan.


Program ini sekali lagi menegaskan komitmen SKM dan pihak kerajaan dalam menyokong pembangunan koperasi serta keusahawanan digital di kawasan luar bandar, seperti Kadamaian.

Comments


bottom of page