KOPUTRI terima Anugerah Koperasi Wanita, jadi inspirasi kepada koperasi wanita lain

21 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad (KOPUTRI) menerima Anugerah Koperasi Wanita dalam Program Voices of HER Festival, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam memperkasakan wanita melalui koperasi.
Penyampaian anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di WTC, di sini, semalam.
Ewon berkata, setakat Jun 2024, sebanyak 16,009 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan 7.15 juta, syer dan yuran terkumpul RM18 bilion, jumlah aset RM171.40 bilion perolehan RM33.05 bilion.

“Daripada jumlah itu, 281 adalah koperasi wanita dan ibu tunggal dengan keahlian seramai 29,373 ahli.
“Walaupun jumlah ini kecil, saya yakin platform koperasi adalah pilihan terbaik bagi wanita untuk menceburi bidang keusahawanan dan perusahaan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Ewon turut memuji inisiatif Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas kejayaan menganjurkan festival ini dengan kerjasama Muslim World Biz, Sekretariat LeadHERship Ibu Zain dan Kelab Wanita Ikon Malaysia.

“Tahniah kepada Koperasi Puteri Terbilang Malaysia Berhad yang menerima Anugerah Koperasi Wanita malam ini.
“Selain hadiah yang diterima daripada penganjur, saya turut bersetuju agar geran Bantuan Pembangunan sebanyak RM30,000 turut disalurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai insentif dan galakan kepada koperasi wanita lain untuk turut mencetuskan kejayaan,” katanya.
Dalam usaha memperkasakan wanita dalam bidang koperasi dan keusahawanan, Ewon turut menggalakkan koperasi wanita menghantar ahli mereka melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

“Saya juga menjemput koperasi-koperasi wanita ini untuk menimbang menghantar pimpinan lembaga, pengurusan dan ahli-ahli melanjutkan pengajian ke UKKM bagi program diploma, sarjana muda, master dan doktor falsafah dalam bidang pengurusan perniagaan keusahawanan dan koperasi,”katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif khusus untuk usahawan wanita yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Agensi-agensi di bawah KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif khusus untuk wanita iaitu Pembiayaan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Skim Pembiayaan TEKUN Wanita, Program BRPlus-I dan BizLady oleh Bank Rakyat, Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh PERNAS dan Program UDA Bizznita dan Women SME Entrepreneurs.
“Usahawan-usahawan wanita juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai skim lain yang dilaksanakan oleh KUSKOP dan agensi-agensinya,” katanya.
Beliau juga berkongsi beberapa kisah kejayaan usahawan wanita yang ditemuinya sepanjang lawatan kerja di seluruh Malaysia, antaranya di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu.
“Saya berharap kejayaan usahawan-usahawan wanita itu yang bermula dari perniagaan kecil-kecilan kini menjadi usahawan berjaya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk turut sama mencapai kejayaan dalam bidang koperasi dan keusahawanan.
“Anugerah yang diterima oleh KOPUTRI ini adalah bukti bahawa koperasi wanita mampu menjadi peneraju dalam sektor ekonomi. Saya berharap kejayaan ini juga akan menjadi pencetus semangat kepada lebih banyak koperasi wanita lain untuk terus berkembang dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Comments