Kosmetik Seludup Bernilai RM892,792 Di Rampas
- nabalunews
- Apr 10
- 1 min read

10 April 2025
SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai produk kosmetik kesihatan yang dipercayai diseludup masuk ke negara tanpa kelulusan, semalam.
Dalam operasi khas bersepadu 'Op Taring Dosej' jam 8.10 pagi itu, semua produk kecantikan yang dianggarkan bernilai RM892,792 itu dirampas di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Pinggir Bakau, di sini.
Menurut kenyataan Batalion 22 PGA Kunak hari ini, operasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat risikan yang diterima pihaknya.

Katanya, ia berkaitan aktiviti penyimpanan barangan larangan yang dipercayai tidak melalui proses perundangan dan pengesahan pihak berkuasa.
“Premis berkenaan disyaki berfungsi sebagai lokasi penyimpanan barangan kosmetik dan ubat-ubatan yang tidak berdaftar.
"Hasil pemeriksaan teliti di lokasi berjaya menemui sejumlah besar kotak warna coklat dan putih yang mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik serta bahan kesihatan.

"Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penahanan tiga lelaki yang berada di premis berkenaan dan dipercayai terbabit dalam pengurusan serta pemilikan barangan yang disita," katanya.
Menurutnya, pasukan operasi turut menyita tiga kenderaan yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan produk berkenaan.
"Keseluruhan kotak besar yang mengandungi pelbagai produk seperti sabun pemutih, krim wajah, losyen, air mawar, pelindung matahari, jamu tradisional, minuman kesihatan, serta produk rawatan antibakteria yang disyaki tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Semporna untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu berkaitan kesalahan memiliki dan menyimpan barangan tanpa cukai.
"Operasi ini berjaya menghalang kemasukan dan pengedaran barangan kosmetik serta bahan kesihatan yang tidak sah di pasaran tempatan," katanya.
Comments