KP bomba terkilan, kecewa beg anggota dicuri ketika bertugas di Manggatal, Sabah
19 Ogos 2024
KUANTAN: Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad terkilan dan sedih dengan kejadian kehilangan beg mengandungi barangan berharga milik seorang anggota bomba Kota Kinabalu, malam kelmarin yang berlaku ketika anggota terbabit membantu mangsa kemalangan maut di pekan Manggatal.
Kecurian berlaku apabila beg anggota berkenaan ditinggalkan dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ketika memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan.
Bagaimana, ia didapati hilang dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab yang berada di lokasi kejadian.
Nor Hisham berkata, kejadian berkenaan sesuatu yang amat menyedihkan dan mencerminkan sikap segelintir masyarakat yang mementingkan tembolok sendiri.
"Mereka bertindak menolak nilai insani dan tanggungjawab terhadap individu lain yang berkorban membantu pihak lain.
"Saya terkilan dan kecewa dengan individu yang tidak bertanggungjawab itu, perbuatan mencuri dilakukan mengundang masalah pada pihak lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuantan, semalam.
Beliau berharap individu tidak bertanggungjawab itu segera dihadapkan ke muka pengadilan di atas kesalahan yang dilakukan.
Semalam, media melaporkan seorang anggota bomba dan penyelamat Kota Kinabalu kehilangan beg berisi dokumen penting termasuk dokumen pengenalan diri, wang tunai, kunci kereta dan kunci rumah yang ditinggalkan dalam kenderaan EMRS akibat dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab ketika memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan.
Comments