KPD SABAH TAMBAH PENDAPATAN PENDUDUK LUAR BANDAR MENERUSI TERNAKAN LEBAH KELULUT
18 Nov 2020
KOTA KINABALU: Selepas kejayaan menternak lebah madu spesis Apis Cerana atau Pomosuon, Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah kini menumpukan tumpuan untuk membantu pesertanya terdiri daripada penduduk luar bandar menambah pendapatan melalui penternakan lebah kelulut.
Timbalan Pengurus Besar Bahagian Perniagaan dan Operasi KPD Sabah Andree Funk berkata setakat ini seramai 22 penternak Apis Cerana yang berdaftar dengan KPD terdiri daripada penduduk tempatan sudah menternak lebah kelulut.
"Daripada jumlah itu, seramai 19 penternak sudah mulai menjual hasil madu kelulut kepada KPD sejak Januari lepas dengan purata pendapatan sekitar RM345 sebulan bagi setiap peserta.
"Penternakan lebah kelulut mempunyai potensi besar kerana Sabah mempunyai kawasan atau habitat yang sesuai untuk lebah kelulut," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata KPD Sabah sebelum ini telahpun memulakan penternakan lebah kelulut pada 2016 di ladangnya di Sikuati, Kudat.
Semenjak ditubuhkan pada 1976, penternakan lebah merupakan antara kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh KPD Sabah untuk membantu usaha kerajaan negeri mengurangkan tahap kemiskinan terutama dalam kalangan penduduk luar bandar.
Andree berkata seramai 520 petani masih menjadi peserta perladangan kontrak madu Apis Cerana atau madu tropikal yang meliputi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud, Pedalaman dan Sipitang.
"Apis Cerana diternak oleh KPD dan peserta yang mengikuti program ternak lebah kerana spesis ini mempunyai nilai pengeluaran madu yang tinggi," katanya.
Beliau berkata bagi program lebah madu Apis Cerana, peserta kontrak diberikan kemudahan dalam bentuk peralatan menternak seperti haif, gelodok, pengasap, penutup muka dan penggampar. – Bernama
Comments