KPDN akan jalankan kajian impak Payung Rahmah
7 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
BANGI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk institusi pengajian tinggi untuk melaksanakan kajian impak berhubung inisiatif Payung Rahmah.
Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian itu penting untuk memastikan kemampanan dan kelestarian inisiatif yang bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup golongan B40 dan miskin tegar.
"Kita mahu program ini bertahan dan diteruskan, jadi kita tengah menilai dan membuat kajian bagaimana mahu mendapatkan kerjasama lebih banyak pihak," katanya selepas menghadiri Program Jelajah Jualan Ehsan Rahmah (JER) Peringkat Negeri Selangor di Bangi pada Ahad.
Beliau berkata, program Payung Rahmah merangkumi pelbagai elemen seperti Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah yang dilaksanakan sejak enam bulan lalu.
Beliau juga memaklumkan bahawa pelaksanaan inisiatif Rahmah ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sudah pun bermula, susulan penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.
"Dengan penambahan peruntukan, kita akan dapat menambah kekerapan iaitu mengikut DUN, bukan lagi sekadar parlimen bermula serta merta," katanya.
Beliau berkata, setakat 31 Julai, Program Jualan Rahmah peringkat persekutuan merekodkan 2.1 juta pengunjung, melibatkan nilai jualan kira-kira RM50 juta.
Comments