KPDN ambil tindakan tegas terhadap ketirisan barang subsidi
11 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiat penguatkuasaan di seluruh negara susulan lebih 3,000 aduan diterima mengenai ketirisan barang subsidi sepanjang tahun ini, kata Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau menjelaskan bahawa aktiviti penguatkuasaan melibatkan Bahagian Penguat Kuasa dan Pejabat-Pejabat Negeri KPDN, dengan tindakan dikenakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
"Antara barang kawalan yang menerima aduan tertinggi dari bulan Januari hingga November 2024 adalah minyak masak sebanyak 1,862 aduan, gula 282 aduan, berkaitan diesel sebanyak 246 aduan, gas memasak (LPG) sebanyak 173 aduan dan aduan berkaitan lain-lain barang kawalan seperti petrol, telur ayam, tepung gandum dan lain-lain," katanya di Dewan Negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa 3,064 aduan berkaitan ketirisan barang subsidi diterima dari 1 Januari hingga 30 November tahun ini.
Menjawab pertanyaan Senator Abun Sui Anyit mengenai aduan dan tangkapan di Sarawak, Armizan berkata, sebanyak 127 kes telah dikesan di negeri itu dalam tempoh yang sama.
Sebanyak 16 tangkapan dilakukan membabitkan 10 tangkapan di Kuching, manakala enam lagi di Miri.
Commenti