top of page
nabalunews

KPDN dalam proses kenal pasti senerai barangan harga kawalan sempena Deepavali

16 Oktober 2024


SERDANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang dalam proses mengenal pasti barangan yang akan disenaraikan di bawah kategori harga kawalan sempena sambutan Deepavali.


Ini termasuk barangan yang mempunyai permintaan tinggi seperti sayur-sayuran yang sering mengalami kenaikan harga menjelang musim perayaan.


Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, menjelaskan bahawa senarai tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).


“Tidak lama lagi saya akan umum. Sekarang dalam proses berbincang dengan industri untuk melihat barangan yang sesuai, termasuk sayur, untuk dimasukkan dalam senarai harga kawalan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian AgroInvest MARDI 2024 di MAEPS, Serdang, lapor Berita RTM.


Ujar beliau, KPDN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menangani potensi kenaikan harga barangan, khususnya sayur, menjelang Deepavali.


“Apabila selesai, saya akan umumkan jenis barangan untuk tahun ini yang dipilih dengan persetujuan daripada industri,” jelasnya.


Dalam pada itu, Armizan turut mengajak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menyertai Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC), bagi mempertingkatkan pengurusan harta intelek di Malaysia.


“Melalui Program TISC ini, kita dapat memberi akses kepada usahawan kita mengenai sumber paten, data saintifik dan teknikal serta bantuan dalam pembangunan teknologi,” katanya.


Penyertaan MARDI dalam TISC akan membolehkan akses kepada maklumat paten dan penerbitan harta intelek di peringkat antarabangsa, yang disediakan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO).

Opmerkingen


bottom of page