KPDN laksana SHMMP, tangani kos sara hidup sempena Aidilfitri

20 Mac 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 selama 15 hari, berkuatkuasa 24 Mac hingga 7 April depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim itu adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh wajar dan mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.
Katanya, menerusi pelaksanaan tujuh hari sebelum dan selepas perayaan serta sehari semasa perayaan membolehkan pengguna menikmati harga berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang lama.

“Kementerian telah mengenalpasti sebanyak 26 jenis barangan kawalan di bawah skim ini pada tahun ini berbanding 22 barangan semasa pelaksanaannya pada tahun lepas.
“Sebanyak empat barangan yang ditambah antaranya bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis Ros, lobak merah serta santan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurutnya, analisis yang dijalankan mendapati harga kawalan yang ditetapkan akan memberi impak positif terhadap aspek kos sara hidup pengguna dalam persiapan sambutan Aidlfitri.

Katanya, penentuan harga itu dibuat setelah mengambil kira pandangan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan berkaitan serta pemain industri.
“KPDN juga akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan kawalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
“Pegawai Penguatkuasa KPDN juga akan ditempatkan di lokasi strategik, termasuk pasar awam, pasar tani, serta pusat beli-belah bagi memastikan kepatuhan peniaga terhadap peraturan yang ditetapkan.

“Penguatkuasaan secara berhemah akan dilaksanakan menerusi pendidikan, nasihat dan amaran agar para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa dan mengamalkan perniagaan beretika.
“Peniaga wajib menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini,” katanya.
Menurutnya, peniaga sama ada individu ataupun syarikat yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan boleh dikenakan penalti.
Katanya, orang ramai yang mendapati sebarang ketidakpatuhan boleh membuat aduan lengkap melalui saluran rasmi yang disediakan oleh KPDN, termasuk portal aduan, talian hotline, atau aplikasi aduan pengguna.
WhatsApp: 019-848 8000
Call Centre: 1-800-886-800
E-mel: e-aduan@kpdn.gov.my
Aplikasi Telefon Pintar: Ex ADU KPDN
Comments