KPDN pantau harga barang bukan kawalan – Salahuddin
18 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
LUMUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengenal pasti punca sebenar kenaikan harga barang bukan kawalan yang berlaku secara berterusan di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh dan operasi turun padang dalam tempoh seminggu ini untuk melihat situasi sebenar.
Beliau berkata barang bukan kawalan seperti susu formula bayi dan kanak-kanak, minyak masak dan gula memerlukan pemantauan rapi kerana ia mempengaruhi kos sara hidup rakyat.
"Barang bukan kawalan ini memang kita pantau dan beri kita masa untuk memantaunya, saya rasa di samping melancarkan Ops Manis (bagi memantau kekurangan bekalan gula), kita juga boleh memeriksa barangan lain," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata ada laporan dalam media sosial menyatakan harga susu formula bayi dan kanak-kanak semakin mahal sekarang dan KPDN memandang serius isu tersebut.
"Jika benar berlaku (kenaikan harga), kita akan melakukan libat urus dengan pihak pengeluar, tetapi jika tidak berlaku, kita akan keluarkan laporan bahawa memang tidak berlaku kenaikan yang melampau," jelasnya.
Beliau juga berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan melakukan libat urus dengan pihak hospital kerajaan bagi membantu pesakit kanser mendapatkan susu yang sesuai dengan harga lebih rendah.
Comentarios