top of page

KPDN perluas program PETRONAS AutoExpert (SIM@PAX) sempena Aidilfitri

nabalunews

Armizan (tiga dari kiri) merasmikan Program Servis Ihsan MADANI@PETRONAS AutoExpert (SIM@PAX) Hari Raya Aidilfitri serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas PETRONAS di Papar, kelmarin.
Armizan (tiga dari kiri) merasmikan Program Servis Ihsan MADANI@PETRONAS AutoExpert (SIM@PAX) Hari Raya Aidilfitri serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas PETRONAS di Papar, kelmarin.

9 Mac 2025


PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan Pelaksanaan Program Servis Ihsan Madani@ PETRONAS Auto Expert (SIM@PAX) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SIM@PAX merupakan inisiatif baharu kerajaan di bawah agenda Payung Rahmah Madani yang telah dimulakan pada 24 Januari 2025 ketika menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina 2025.


Katanya, program kerjasama strategik KPDN dan PETRONAS ini menyasarkan pemberian manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendepani cabaran kos sara hidup melalui penjimatan kos bagi penyelenggaraan kenderaan sempena sambutan musim perayaan utama di Malaysia.


"Melalui SIM@PAX, para pengguna berpeluang mendapatkan diskaun bagi perkhidmatan servis kereta termasuk produk minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik tulen antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Servis Ihsan MADANI@PETRONAS AutoExpert (SIN@PAX) Hari Raya Aidilfitri serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas PETRONAS di Dewan Terbuka Tamu Mingguan Papar, disini kelmarin.


Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, melihat kepada sambutan yang menggalakkan dan manfaat yang diperoleh daripada program ini, pelaksanaan SIM@PAX sempena Hari Raya Aidilfitri akan diperluaskan dengan menawarkan perkhidmatan servis kenderaan dan minyak pelincir untuk kenderaan jenis diesel.


Katanya, peluasan jenis minyak pelincir diesel ini adalah untuk membantu pengguna kenderaan jenis diesel khususnya di Sabah dan Sarawak agar dapat menikmati manfaat ini, selain membantu para peniaga kecil yang menjadikan kenderaan jenis enjin diesel seperti trak pikap sebagai kenderaan utama.


SIM@Pax Hari Raya Aidilfitri akan berlangsung bagi tempoh 15 hari bermula dari 15 hingga 29 Mac 2025 melibatkan 96 buah bengkel PETRONAS AutoExpert sedia ada di seluruh Malaysia.


Lokasi bengkel yang terlibat boleh disemak dengan melayari laman sesawang www.mymesra.com.my dan orang ramai adalah dipelawa untuk membuat tempahan janji temu servis kenderaan bermula hari ini menggunakan aplikasi Setel.


Dalam masa yang sama, KPDN telah menjayakan Program Ikhlas Ramadan bersama Gas PETRONAS melalui pemberian sumbangan berbentuk Gas PETRONAS kepada 100 orang peniaga Bazar Ramadan Tapak Tamu Mingguan, Papar, kelmarin.


Ini termasuklah sumbangan penukaran silinder Gas PETRONAS secara percuma diberikan sebanyak dua kali kepada penjaja yang terlibat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page