KPDN Sandakan kendalikan 15 kes pendakwaan babitkan nilai rampasan barangan kawalan lebih RM1.3 juta - Azdy
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 2 min read

26 April 2025
SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan mengendalikan siasatan serta pendakwaan terhadap 15 kes penyelewengan barang kawalan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1,302,073.20.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azdy Zukkry John berkata, antara penyelewengan barang-barang kawalan tersebut termasuklah gas petroleum cecair, minyak masak bersubsidi, tepung gandum, gula, petrol RON95 serta diesel keluar ke negara jiran.
Katanya, jumlah rampasan itu direkodkan KPDN Cawangan Sandakan bermula sejak 1 Januari sehingga 25 April tahun ini.

“Pihaknya akan memperkasakan lagi aktiviti pemantauan ketirisan barang kawalan di perairan Sandakan melalui pelaksanaan beberapa Operasi Bersepadu bertujuan bagi membanteras kes penyelewengan di daerah ini.
“KPDN Sandakan sentiasa menjalin kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan serta Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai Operasi Bersepadu dijalankan kelmarin Azdy berkata, seramai sembilan anggota Penguat Kuasa KPDN Sandakan terlibat bersama gabungan PPM Sandakan.
“Operasi Bersepadu ini bermula jam 9 malam sehingga 2.30 pagi memberi tumpuan menjalankan pemeriksaan di sekitar perairan Sandakan menggunakan aset PPM.
“Kita memeriksa berapa kawasan tumpuan termasuk di perairan Sungai Seguntor, pesisir Tanah Merah Kampung Bokara serta kawasan jeti swasta di sekitar Sandakan.
“Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas beberapa bot serta kapal mendapati tidak melakukan apa-apa aktiviti yang melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelas Azdy.
Menurutnya, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasakan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa.
“KPDN Sandakan juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga.
“Pengguna boleh bertindak sebagai mata dan telinga kepada KPDN dengan menyalurkan butiran aduan yang lengkap menerusi saluran-saluran rasmi aduan, tambahnya.
Antaranya, melalui Whatsapp ditalian 019 848 8000, Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my
serta Call Centre 1 800 886 800 dan Emel: e aduan@kpdn.gov.my.
“Orang ramai juga boleh menggunakan Aplikasi Ez ADU KPDN atau melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command (Enforcement Command Centre): 03 –– 8882 6088 / 6245 atau Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan mereka,” katanya Azdy.