KPDN siap sedia hadapi Monsun Timur Laut
5 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025, yang bermula pada November lalu.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa pelan kontingensi telah disusun dengan melibatkan pelantikan Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negara.
“Peranan DDR dan DDW adalah menyediakan bekalan barangan keperluan harian yang mencukupi ke kawasan terlibat banjir. Setakat ini, terdapat 1,369 DDR dan 635 DDW di seluruh negara, termasuk 160 DDR dan 74 DDW di Terengganu,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Sebagai langkah tambahan, DDR dan DDW dibenarkan menyimpan stok tambahan sehingga 30 peratus daripada had simpanan biasa selepas pengumuman rasmi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai permulaan Monsun Timur Laut.
ECC Pantau Aduan dan Gangguan Bekalan
Bagi memastikan kelancaran bekalan, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN akan bertindak balas terhadap sebarang aduan dan laporan mengenai gangguan barangan keperluan.
KPDN turut bekerjasama dengan Petronas untuk memastikan penghantaran bahan api seperti diesel dan petrol ke kawasan terjejas menggunakan perkhidmatan mobile refueling service (ROVR).
“Pelan ini diambil bagi mengelakkan gangguan bekalan barangan sekaligus mengekang peningkatan harga yang keterlaluan akibat bekalan yang berkurangan,” tambah Datuk Armizan.
Galakan Bantuan Dari NGO dan Badan Korporat
Datuk Armizan turut mengalu-alukan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak korporat untuk membantu mangsa banjir.
Beliau menyeru pihak yang ingin menghulurkan bantuan agar mendapatkan bekalan dari kawasan yang tidak terjejas bagi mengelakkan gangguan bekalan di kawasan banjir.
“Kita mahu memastikan penduduk tempatan di kawasan terkesan dapat membeli barangan keperluan tanpa gangguan, serta memastikan kelancaran pembekalan makanan oleh agensi di pusat pemindahan banjir,” katanya.
KPDN berharap langkah-langkah ini dapat memastikan keperluan asas rakyat terus terjamin sepanjang musim banjir kali ini.
Comments