KPKM jamin bekalan kelapa mencukupi untuk perayaan awal tahun depan
28 Disember 2024
KUALA KANGSAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan bekalan kelapa negara adalah mencukupi untuk menampung keperluan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Ramadan, dan Aidilfitri yang akan berlangsung tahun depan.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah tambahan telah dirancang bagi memastikan tiada kekurangan bekalan, termasuk mengimport kelapa dari negara luar seperti Indonesia.
“Sekarang harga santan agak tinggi dan kita akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, kemudian Ramadan dan juga Hari Raya. Jadi, kita harap penanam kelapa yang ada sekarang ini berusaha meningkatkan hasil mereka untuk memenuhi permintaan tempatan kelapa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri lawatan ke Taman Agro Duriotourism di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar, hari ini. Turut hadir, Pengerusi MARDI, Azman Ismail, dan Ketua Pengarah MARDI, Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Mohamad turut memaklumkan bahawa rundingan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah dibuat untuk membawa masuk lebih banyak kelapa tua dari Indonesia.
“FAMA melalui anak syarikatnya, Famaco, telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula Disember, berbanding 180 metrik tan sebelum ini. Langkah ini susulan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama termasuk Lembah Klang akibat cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lepas,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa usaha jangka panjang tetap diberikan kepada galakan penanaman kelapa tempatan.
“Sekarang, sudah banyak pengusaha baru menyedari bahawa penanaman kelapa ini sesuatu perkara yang menguntungkan,” tambahnya.
Comments