KPLB perkenal program podcast pertama "Diorang Bilang"
nabalunews

28 Februari 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) memperkenalkan program podcast pertama iaitu "Diorang Bilang" dalam usaha memperkasa penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, inisiatif itu dikendalikan oleh Bahagian Korporat Komunikasi dan Teknologi Maklumat (KKTM) KPLB.
Katanya, ia satu langkah inovatif dalam mendekatkan rakyat dengan dasar, program, dan inisiatif pembangunan luar bandar melalui medium digital yang lebih interaktif.
"Inisiatif ini seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat menjadikan medium digital sebagai pilihan utama dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat," katanya.
Jahid berkata, seiring dengan perubahan ini, KPLB Sabah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan podcast Diorang Bilang sebagai platform rasmi untuk menyampaikan maklumat mengenai pembangunan luar bandar secara terus kepada rakyat.
"Inisiatif ini bukan sahaja memberikan penerangan mendalam mengenai dasar kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan luar bandar, malah memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
"Pendekatan digital seperti podcast ini membolehkan rakyat lebih memahami usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
"Melalui platform ini, kita dapat berkongsi secara langsung tentang program dan inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan oleh KPLB Sabah," katanya selepas sesi rakaman pertama podcast tersebut di pejabat KPLB, disini, hari ini.
Rakaman kali pertama "Diorang Bilang" diselaraskan oleh KKTM KPLB Sabah di bawah kepimpinan Pegawai Teknologi Maklumat (PTM), Theresa Lim.
Menurut Theresa, pasukan KKTM memainkan peranan dalam merancang, menyusun kandungan, serta memastikan rakaman itu berjalan dengan lancar dan berkualiti tinggi.
"Dengan menggunakan format perbincangan santai dan wawancara, podcast ini akan menampilkan pelbagai tetamu jemputan termasuk pemimpin, pegawai kerajaan, serta individu yang terlibat dalam pembangunan luar bandar Sabah.
"Pendekatan ini bukan sahaja menyampaikan maklumat secara tepat, malah memberikan peluang kepada rakyat untuk memahami peranan KPLB Sabah dalam memperkasakan komuniti luar bandar," katanya.
Theresa berkata, penggunaan podcast sebagai medium komunikasi memberikan banyak kelebihan, antaranya menyediakan akses mudah dimana pendengar boleh mengikuti episod podcast pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui telefon pintar atau komputer.
"Selain penyampaian santai dan interaktif berbanding sidang media rasmi atau laporan bertulis, format podcast lebih santai dan mudah difahami," katanya.
Katanya, Podcast ini juga boleh disebarkan melalui pelbagai platform digital media sosial seperti YouTube, Facebook, Tiktok, dan sebagainya, membolehkan capaian lebih luas kepada masyarakat luar bandar dan bandar.
Katanya, dengan adanya sumber rasmi seperti ini, rakyat dapat menerima maklumat yang benar dan tepat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan.
"Program "Diorang Bilang" ini jelas menandakan satu perubahan besar dalam pendekatan penyampaian maklumat kerajaan negeri kepada rakyat, di mana, inisiatif ini bukan sahaja selari dengan perkembangan teknologi maklumat tetapi juga mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat luar bandar," katanya.
Comments