top of page
nabalunews

KPM beri autonomi kepada guru dan sekolah laksana ujian akhir sesi akademik 2024/2025



15 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperkenalkan satu langkah baharu dalam sistem pendidikan dengan memberikan autonomi kepada guru dan sekolah untuk melaksanakan ujian akhir sesi akademik bagi sesi 2024/2025.

 

Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan meningkatkan fleksibiliti dalam proses penilaian.

 

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menjelaskan bahawa penambahbaikan ini turut melibatkan perubahan bentuk pelaporan daripada penguasaan Pentaksiran Berterusan (PB) kepada format peratusan dan gred.

 

"Ujian akhir sesi akademik ini bukanlah ujian yang menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) kerana ia bukan peperiksaan pusat. Ujian ini bersifat 'low stakes' dan bertujuan untuk mengurangkan tekanan peperiksaan terhadap murid," katanya dalam sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

 

Wong juga menekankan bahawa ujian ini tidak bertujuan untuk membandingkan prestasi atau pencapaian antara murid, sekolah, daerah, atau negeri, tetapi lebih kepada membantu murid mengembangkan potensi masing-masing sebagai persiapan menghadapi fasa pembelajaran seterusnya.

 

Melalui PBS, guru dapat mengenal pasti kelemahan dan cabaran pembelajaran murid, sekali gus memungkinkan pelaksanaan program intervensi pemulihan yang lebih berkesan. Pendekatan ini turut mengiktiraf kepelbagaian potensi dan bakat setiap murid.

 

Pelaksanaan PBS adalah selaras dengan Deklarasi Incheon 2030 yang menggariskan kepentingan pentaksiran berterusan dan komprehensif bagi mencapai pendidikan berkualiti, termasuk penilaian terhadap aspek kognitif dan bukan kognitif murid.

Comments


bottom of page