top of page

KPM kekalkan garis panduan penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah

nabalunews

26 Julai 2024


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah dikekalkan.


KPM menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu.


Menurut laporan Bernama, panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.


Pada masa sama, KPM memaklumkan mesyuarat itu juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan yang telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.


“Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” kata kenyataan itu.


Terdahulu, media melaporkan KPM sedang melakukan siasatan berhubung isu penganjuran program amal di sebuah sekolah membabitkan sumbangan syarikat minuman keras.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM dinasihati supaya mematuhi garis panduan dalam menguruskan sumbangan daripada pihak luar.


Sebelum ini, isu itu dibangkitkan susulan tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat minuman keras.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page