top of page
nabalunews

KPM laksana intervensi semua segmen bagi tingkat penglibatan murid dalam STEM - Fadhlina

29 Oktober 2024


BATU KAWAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif seperti intervensi untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di seluruh negara.


Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, usaha ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara yang menekankan pendekatan holistik dan bersepadu dengan matlamat utama untuk memastikan peningkatan berterusan dalam bidang STEM serta menggalakkan minat pelajar dalam bidang-bidang ini sejak di peringkat sekolah.


Sebagai langkah awal, KPM telah menganjurkan Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) buat julung kalinya yang memainkan peranan penting dalam menjalin kerjasama strategik antara industri dan sektor pendidikan bagi memperkukuh sokongan terhadap pembelajaran STEM.


Ia juga bertujuan untuk mempertingkatkan kebolehpasaran pelajar melalui pemahaman mengenai keperluan industri dan pembangunan kemahiran relevan, seiring dengan matlamat kerajaan untuk memperkasa bidang pendidikan STEM dan TVET.


“Ini kerana peningkatan penglibatan anak-anak dalam STEM itu, juga melibatkan pelajar di kolej vokasional dan sekolah menengah teknik kita yang mengambil subjek yang berkait rapat dengan teknikal dan juga kejuruteraan.


“Anak-anak kita juga mesti dibantu oleh kaunselor terlatih, untuk memastikan bahawa mereka mendapat sokongan sepenuhnya ketika memilih jurusan STEM itu,” katanya selepas menghadiri Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM di sini semalam, lapor Bernama.


Difahamkan, di Pulau Pinang hanya 52 peratus pelajar memilih STEM, walaupun negeri tersebut dikenali sebagai hub bagi industri teknologi tinggi dan mempunyai ekosistem kukuh bagi membangunkan bakat STEM, yang dilihat masih jauh bagi mencapai sasaran 60:40 bagi pelajar STEM, berbanding jurusan sastera.


Sementara itu, Fadhlina juga berkata Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM itu akan diteruskan di negeri lain dengan seterusnya akan dilaksana di Kedah, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.


Forum tersebut bertujuan untuk membincangkan potensi pelajar TVET di bawah KPM melalui jaringan dan kerjasama pihak industri, dengan menjemput panel daripada individu berpengalaman dan terkemuka dalam bidang TVET.


Ia merupakan platform untuk perbincangan mengenai sinergi antara institusi TVET KPM dengan industri, dan memfokuskan lima kluster penting yang membentuk pembangunan TVET iaitu Kualiti Program TVET, Kolaborasi Strategik TVET, Penjenamaan TVET Pembiayaan TVET dan Tadbir Urus Institusi.


Fadhlina berkata KPM ambil perhatian pandangan dan input daripada ahli panel untuk menambah baik lagi pendekatan TVET di negara ini.


Selain itu, beliau berkata KPM juga sedang memperluas rakan sinergi bagi memberikan pengalaman peningkatan kemahiran dan pemahiran semula kepada guru-guru institusi pendidikan TVET KPM, agar menguasai ilmu pada peringkat industri kemahiran supaya mereka seiring dan dapat menyampaikan pengajaran dengan lebih baik.


Fadhlina juga menegaskan kerajaan serius mengenai pemerkasaan bidang TVET, justeru ia dijadikan antara agenda reformasi pendidikan negara dan kenaikan kadar Geran Per Kapita (PCG) TVET dalam Belanjawan 2025 selepas 12 tahun, merupakan bukti komitmen kerajaan memperjuangkan bidang TVET sekali gus memastikan bidang tersebut menjadi arus perdana dan bukannnya kelas kedua.


Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar PCG bagi TVET ditingkatkan 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.


Forum hari ini menyaksikan Fadhlina menjadi moderator, manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ViTrox Technologies Sdn Bhd Datuk Chu Jenn Weng, Ahli Lembaga Kehormat Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) Datuk P'ng Soo Hong, Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tsin, serta Senior Director Humar Resources APAC Dexcom Balan Krishnan menjadi panelis.


Selain forum, sesi menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM bersama rakan strategik juga diadakan, yang melibatkan sembilan syarikat dan agensi termasuk Famax Technology(M) Sdn Bhd, Orangeleaf Consulting Sdn Bhd, Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah Darulaman (KISMEC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

Comments


bottom of page