KPM perkenal SOP baharu lindungi sekolah berisiko banjir tahun depan
13 Disember 2024
PASIR MAS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu di sekolah-sekolah berisiko banjir sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan kerosakan pada masa akan datang.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi, menekankan kepentingan SOP ini termasuk menempatkan bilik guru, makmal, dan bilik simpanan buku teks di tingkat atas bangunan sekolah bagi mengelakkan kerosakan akibat banjir.
"Pengajaran yang kita dapat ialah untuk kawasan sekolah yang terlibat banjir, perlu ada beberapa SOP yang diteliti. Sebagai contoh, bilik guru, bilik makmal, dan bilik simpanan buku teks tidak sepatutnya berada di tingkat bawah.
"Barang-barang mudah rosak perlu dipindahkan, dan kita perlu mengenal pasti sekolah-sekolah yang berisiko banjir untuk perancangan awal," katanya ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti di sini sempena lawatan kerja ke Kelantan, hari ini.
Ruji turut menyeru Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sekolah, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengambil maklum perkara ini agar langkah-langkah awal dapat dilaksanakan.
Hasil tinjauan ke negeri-negeri terjejas sebelum ini, termasuk Kelantan dan Kedah, mendapati bilik guru masih ditempatkan di tingkat bawah, yang menyumbang kepada kerosakan teruk apabila banjir melanda.
KPM juga akan mendapatkan data terperinci dari negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah untuk mengenal pasti bilik guru yang terjejas akibat banjir baru-baru ini bagi memindahkannya ke lokasi lebih selamat.
Dalam perkembangan lain, Ruji mendedahkan bahawa 15 sekolah di Kelantan mengalami kerosakan teruk akibat banjir dan meminta JPN serta PPD menggunakan kaedah perolehan darurat bagi mempercepatkan pembaikan.
"Kita ada kemudahan perolehan darurat. Kerja-kerja pembinaan perlu diteruskan segera, termasuk perolehan peralatan.
"Saya harap proses perolehan dilakukan sekarang supaya peralatan dapat diganti menjelang akhir Januari. Diharapkan situasi banjir tidak berulang seperti gelombang pertama yang teruk," katanya.
Comments