KPM perkukuh usaha tangani isu buli dan gangguan seksual di sekolah
15 Disember 2024
JOHOR BAHRU: Program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Salah Laku Buli dan Seksual dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan memperhebat usaha menangani isu buli dan gangguan seksual di sekolah secara komprehensif.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata program sokongan ini akan melihat penglibatan langsung Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, serta kepimpinan tertinggi KPM dalam mendekati pelajar dan guru melalui perhimpunan rasmi di sekolah.
“Program ini adalah langkah untuk memperkukuh gerakan menangani isu buli dan gangguan seksual di sekolah. Komitmen KPM ini juga disokong oleh garis panduan yang telah dikeluarkan bagi memastikan pengurusan kes-kes ini dapat diurus dengan sebaiknya,” katanya selepas menghadiri pelancaran program tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, di sini, hari ini, lapor Bernama.
Azman turut memaklumkan bahawa KPM melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) merekodkan 6,528 kes buli pada tahun lepas, manakala setakat Oktober tahun ini, terdapat 6,208 kes yang dilaporkan.
Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk menangani isu ini termasuk Portal Aduan Buli yang membolehkan laporan dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), emel, talian telefon, aplikasi WhatsApp, serta peti aduan di sekolah.
“KPM juga telah mengeluarkan pekeliling dan garis panduan komprehensif yang merangkumi tatakelola serta tatacara menangani aduan, selain melaksanakan pelbagai aktiviti sokongan di sekolah untuk meningkatkan kesedaran murid tentang isu buli dan gangguan seksual,” tambahnya.
Comentarios