top of page
Wartawan Nabalu News

KPM perlu tambah seminggu bagi cuti sekolah akhir tahun - Maszlee



13 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyemak kembali tarikh cuti akhir tahun dengan membuat penambahan cuti sekurang-kurang satu minggu lagi, kata bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.


Menurutnya, beliau menerima banyak maklum balas daripada guru-guru yang meminta agar pihak KPM dapat mempertimbangkan permohonan penambahan cuti tersebut susulan pengumuman kebenaran rentas negeri Isnin lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


“Kita sedia maklum, walaupun KPM memperuntukkan cuti akhir tahun selama tiga minggu namun, menjadi amalan sekolah-sekolah di Malaysia untuk memanggil kembali guru berkhidmat sekurang-kurangnya seminggu lebih awal untuk persediaan pembukaan sekolah.


“Jadi mereka hanya akan mendapat cuti selama dua minggu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.


Jelas Maszlee lagi, tangapan bahawa guru tidak perlukan lagi cuti kerana mereka berada di rumah adalah salah kerana guru-guru masih menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


“Dengan penambahan cuti ini, guru-guru boleh pulang ke kampung halaman, terutama guru-guru yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak yang berasal dari Semenanjung atau guru-guru di Semenanjung yang berasal dari Sabah dan Sarawak, dengan lebih selesa dan berbaloi dari segi masa dan kos.


Tambah Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, guru-guru juga dapat melakukan kurantin kendiri sebelum bertugas secara rasmi dengan adanya penambahan cuti ini.


"Ini akan memastikan guru-guru kita benar-benar bersedia bertugas serta menjamin kesihatan mereka, bukan sahaja kesihatan fizikal malahan kesihatan mental.


“Memandangkan sesi persekolahan 2021 akan dilanjutkan sehingga bulan Februari 2022, saya menyeru agar Menteri Kanan Pendidikan dan KPM mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.


Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan mengumumkan pelanjutan sesi persekolahan sehingga Mac 2022 dengan cuti akhir tahun selama tiga minggu yang akan bermula pada 10 Disember 2021 bagi kategori A dan 11 Disember 2021 bagi kategori B.

Comentarios


bottom of page