top of page
nabalunews

KPM Tegas: Kes pelajar terlibat dadah tidak boleh disembunyikan



26 November 2024

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pentadbir sekolah yang gagal melaporkan kes pelajar terlibat dalam gejala dadah, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. 

 

Beliau menegaskan bahawa semua kes disiplin yang melibatkan jenayah mesti dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengikut prosedur yang telah ditetapkan. 

 

"Kita ada prosedur operasi standard (SOP) laporan yang perlu dilaksanakan. Kemudian proses perbincangan dengan ibu bapa dan juga komuniti termasuk pegawai perhubungan akan membantu dalam kes-kes tersebut. 

 

"Jadi perkara ini tidak boleh disembunyikan. Ia mesti dilaporkan dan kita minta untuk PPD dan JPN juga ambil perhatian dalam isu ini," katanya kepada pemberita selepas Program Peluncuran Kit Duta Sahsiah di ibu negara. 

 

Menurutnya, KPM turut memberi perhatian serius terhadap isu dadah dan buli, dengan memastikan garis panduan serta tindakan disiplin di sekolah dipatuhi sepenuhnya. 

 

"Sebagaimana yang disebut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan, itu semua dalam rangkuman dan radar kita untuk memastikan ia benar-benar dapat kita kawal," tambah Fadhlina. 

 

 

Comentarios


bottom of page