top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPM tidak halang ahli politik masuk sekolah jika ikut garis panduan


2 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli politik daripada mana-mana parti tidak dilarang oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengadakan atau menyertai program di kawasan sekolah selagi mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata mereka perlu membuat permohonan dan mengikut tatacara Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2023.


Surat pekeliling itu mengandungi garis panduan mengenai undangan atau lawatan orang kenamaan dan ahli politik ke institusi pendidikan.


“KPM telah pun menyediakan garis panduan yang jelas bagaimana tatacara kemasukan kepada semua pihak yang ingin masuk ke sekolah, sama ada orang kenamaan ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.


Beliau menjelaskan bahawa permohonan mesti dibuat dalam tempoh 30 hari dan mesti ada perincian program, objektif dan impak program tersebut.


Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa ada pemimpin pembangkang yang tidak dibenarkan masuk ke sekolah di sebuah negeri untuk menghadiri program di sana.


Menurut beliau, garis panduan itu terpakai kepada semua pihak dan KPM tidak ada masalah untuk memberi kebenaran jika syarat-syarat dipenuhi.


“Untuk rekod kami, kalau tidak ada permohonan memang tidak boleh masuk. Ini adalah tanggungjawab kami untuk menjaga keselamatan dan kebajikan keseluruhan warga sekolah,” katanya.


Beliau juga menegaskan bahawa KPM tidak ‘pilih bulu’ dalam perkara ini dan akan bertindak adil kepada semua pihak.


Comments


bottom of page