KPM tinjau penubuhan kolej tingkatan enam premium melalui kerjasama dengan KPT
11 November 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Kolej Tingkatan Enam Premium sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan menengah di negara ini, melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah komitmen berterusan KPM untuk menjadikan tingkatan enam sebagai laluan utama bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian mereka.
“KPM sentiasa menambah baik sistem sedia ada bagi memastikan kelestarian pendidikan tingkatan enam. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf setara dengan A-Level dan mendapat pengiktirafan daripada University of Cambridge, salah sebuah universiti terulung dunia,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Wong, lepasan STPM yang memperoleh keputusan cemerlang dan memenuhi syarat kelayakan juga layak memohon pelbagai biasiswa, termasuk di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta biasiswa lain daripada agensi kerajaan.
Menurut Wong, KPM juga sedang melakukan perubahan pada sistem persekolahan dan pentaksiran Tingkatan Enam dengan memperkenalkan sistem modular, yang mana kandungan silibus dibahagikan kepada tiga semester.
Sehingga tahun 2024, sebanyak 27 buah Kolej Tingkatan Enam telah beroperasi di seluruh negara, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 635 pusat pendidikan di seluruh negara.
Comentários