KPT Ambil Tindakan Segera Isu Gangguan Bekalan Air Di UMS
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

12 April 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah mengambil tindakan segera bagi menangani isu gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilaporkan berlarutan selama seminggu, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya sudah merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JKNS).
Katanya, masalah berkenaan perlu ditangani segera dan berharap JKNS memberi keutamaan kepada keperluan warga kampus UMS yang kini sedang menjalani sesi pengajian.

“Bekalan air di UMS terjejas mungkin disebabkan berlaku peningkatan penggunaan air mendadak semasa perayaan Hari Raya dan acara-acara tertentu yang memberi kesan terus kepada UMS.
“Saya telah minta supaya isu catuan ini dilihat kembali dan UMS diberikan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri bersama Pejabat Parlimen dan agensinya dibawah kementeriannya, di Dewan Mini Putrajaya, Jalan Sulaman, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program ‘Jom Masuk U’ yang bakal berlangsung bulan ini, Mustapha berkata, semua ibu bapa dan pelajar perlu merebut peluang berkenaan.
Katanya, program berkenaan dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 April di Sandakan, serta 10 dan 11 Mei di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.
“Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar lepasan sekolah mengenai pelbagai kursus pengajian tinggi yang ditawarkan oleh institusi awam dan swasta di seluruh negara.
“Kita mahu semua warga Sabah, terutama dari kawasan Sepanggar, datang ke program ini dan melihat sendiri apakah kursus yang sesuai untuk anak-anak mereka,” katanya.
Mustapha berkata, antara tumpuan program kali ini adalah untuk membantu pelajar dari golongan B40, dengan pelbagai insentif yang disediakan bagi memudahkan akses kepada pendidikan tinggi.
Comments