top of page

KREATIF, PENDUDUK KAMPUNG HASILKAN PANCURAN GETAH GUNA ZINK

Wartawan Nabalu News

Kreatif ... Lucy dibantu oleh bapa saudaranya.

14 Feb 2021


Oleh Anne Sham


KIULU: Pergerakan terbatas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak menghalang penduduk kampung mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup keluarga.


Bagi seorang penduduk Kampung Tiong Ratau, Lucy Bangaron, 56, beliau menoreh getah kerana tidak dapat menjual di tamu sejak PKP tahun lalu.


"Banyak pancuran getah di kebun saya rosak dan perlu diganti, tetapi sekarang masih PKP, jadi saya mengambil inisiatif sendiri membuat pancuran menggunakan kepingan zink terpakai," katanya ketika ditemui Nabalu News.

Sebahagian daripada pancuran getah yang sudah disiapkan.

Lucy, ibu kepada empat orang anak mendapat idea membuat pancuran getah menggunakan zink daripada anaknya.


"Dulu anak lelaki saya ajar membuat pancuran getah daripada kepingan zink, ia sangat mudah dan juga jimat. Tapi sebelum ini kami tidak pernah buat sebab pancuran getah ada dijual di pekan Tamparuli dan harganya juga murah.

"Oleh sebab sekarang masih PKP dan masih banyak kedai ditutup, jadi kami membuat sendiri pancuran getah daripada kepingan zink yang tidak digunakan.

Kepingan zink dipotong untuk dijadikan pancuran getah.

"Dalam masa satu jam kami berjaya menyiapkan lebih kurang 300 keping pancuran getah. Walaupun tidak secantik dan sekemas seperti yang dijual di kedai, tetapi syukurlah ada daripada tiada," katanya.


Lucy yang sebelum ini menjual sayur-sayuran dan ikan masin di tamu Pekan Nabalu, Kundasang dan Ranau berkata, sejak PKP tahun lalu sehingga sekarang, penduduk kampung yang bergantung sepenuhnya dengan jualan hasil pertanian di tamu-tamu mingguan amat terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Sejak kerajaan tidak membenarkan pembukaan tamu, saya mengambil keputusan untuk menoreh getah," katanya.

Kebun getah Lucy.

Berkongsi pengalaman sebagai penoreh getah, beliau berkata, kebanyakan penduduk kampung akan keluar menoreh getah seawal pukul tiga pagi atau jam 4 pagi.


"Kebun getah saya dekat saja dari rumah, jadi biasanya saya akan mula keluar menoreh getah seawal jam 5 pagi dan siap jam 8 pagi," katanya.


Comments


bottom of page