top of page
  • nabalunews

Krisis air Karamunting memasuki hari Ke-13, pasukan tindakan ADUN cari penyelesaian

1 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Kira-kira 2,000 pengguna di kawasan Bandar Ramai Ramai, Bandar Leila, Bandar Nam Tung serta di kawasan sekitar Karamunting mengalami masalah bekalan air sejak hampir dua minggu lalu dan menyebabkan kehidupan seharian mereka terjejas.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata, pihak Jabatan Air Sandakan juga telah mengambil langkah jangka pendek untuk melaksanakan catuan bekalan air berjadual bagi meredakan masalah ini.


Bagi mendapatkan jawapan dan penyelesaian akan krisis air itu, George menerusi Pasukan Tindakan Karamunting juga telah bertemu dengan pihak Jabatan Air Sandakan diketuai wakil pasukan itu, Yap Hsiu Min dan Ketua Bahagian Aduan, Tommy Yap.


Mereka juga telah mengadakan mesyuarat bersama jurutera Jabatan Air Sandakan, Alchemy Lobo October M. Sabin dan wakil daripada Majlis Perbandaran Sandakan dalam mendapatkan penerangan terperinci mengenai situasi itu.


Yap berkata, penyelesaian segera diperlukan dalam memastikan bekalan air di kawasan terlinat dapat dipulihkan kerana gangguan bekalan air yang berlarutan amat menjejaskan kehidupan harian penduduk.


Difahamkan, sumber air di Loji Rawatan Air Hilltop Sandakan juga dilaporkan telah kering sepenuhnya dan ia menyebabkan bekalan air paip tidak dapat disalurkan secara normal ke kawasan Karamunting.


Manakala Alchemy menjelaskan, bekalan air di kawasan Karamunting juga kini bergantung kepada bekalan air kecemasan dari loji rawatan air di Kinabatangan dan Segaliud. 


Kebergantungan ini turut memberi tekanan yang besar kepada keseluruhan sistem bekalan air di Sandakan, yang menyebabkan bekalan air di kebanyakan kawasan di daerah itu juga tidak mencukupi. 


Sementara itu pihak yang berkenaan turut merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk tiga kawasan yang terjejas di Karamunting itu.


Bagi pelan jangka pendek, ia melibatkan catuan bekalan air berjadual dan bagi pelan jangka panjang ia melibatkan pemasangan pam air di lokasi yang sesuai. 


Namun, difahamkan ia membabitkan kawasan tanah milik Majlis Perbandaran Sandakan dan masih menunggu kelulusan.


Ini secara tidak langsung mengakibatkan kelewatan dalam pelaksanaan pelan terbabit.

Comments


bottom of page