Krisis Perlembagaan tidak selesai selagi kerajaan tidak jawab semua persoalan: Donald
2 Ogos 2021
1. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja-Raja Berperlembagaan dengan Agong sebagai Ketua Negara.
2. Keadaan krisis Perlembagaan di Malaysia terbangkit apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Datuk Seri Takiyuddin menyatakan di Parlimen pada 26 Julai bahawa proklamasi darurat dan Ordinan-Ordinan di bawahnya telahpun dibatalkan oleh Kabinet Persekutuan pada 21 Julai.
3. Ini pula disusuli oleh kenyataan Istana Negara yang jelas menyatakan perasaan amat dukacita YDP Agong kerana perkenannya dan apa yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda kepada Kerajaan bahawa cadangan pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diundi tidak dituruti, dan YB Datuk Seri Takiyuddin telah membuat kenyataan di Parlimen yang bercanggah dan tidak tepat yang mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
4. Seri Paduka Baginda menyatakan bahawa apa yang dititahkan adalah selaras dengan Perkara 150 (3), Perlembagaan Malaysia yang menyatakan (secara ringkas), jika belum ada pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan darurat sebelumnya, hanya Parlimen yang mempunyai kuasa untuk membatalkannya.
5. Persoalan utama yang timbul daripada semua ini adalah, adakah Kabinet Persekutuan berhak untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan tersebut tanpa perkenan dan tandatangan Seri Paduka Baginda?
6. Susulan daripada itu beberapa lagi persoalan-persoalan timbul seperti:
(i) Adakah kesemua Ordinan-Ordinan yang digubal semasa darurat dibatalkan?;
(ii) Memandangkan Ordinan-Ordinan tersebut mempunyai kuasa undang-undang, apakah kesan-kesan pembatalan itu?;
(iii) Bagaimanakah pula dengan tindakan-tindakan yang telah diambil di bawah Ordinan-Ordinan itu.
7. Daripada menjawab semua ini, Kerajaan pula mengeluarkan kenyataan bahawa semua yang telah dilaksanakan olehnya berkait dengan perkara ini adalah menurut Perlembagaan dan bahawa YDP Agong harus menurut nasihatnya. Kerajaan merujukkan kepada Perkara 40 (1) dan (1A), Perlembagaan Malaysia. Walau demikian jika Perkara 40 (1) dibaca hingga ayat terakhir, nyata bahawa YDP Agong mempunyai hak untuk mendapat maklumat-maklumat tertentu sebelum mengikuti nasihat Kerajaan. Dalam kes ini, penjelasan yang diperlukan dan dinyatakan dalam surat daripada Istana Negara tidak diberi kepada Seri Paduka Baginda sebelum 21 Julai.
8. Apa yang jelas ialah apabila Datuk Seri Takiyuddin membuat kenyataan pembatalan di Parlimen pada 26 Julai, Seri Paduka Baginda belum perkenan dan menandatangani persetujuannya mengenai pembatalan tersebut hinggalah ke hari ini.
9. Selepas Datuk Seri Takiyuddin menyatakan bahawa semua persoalan-persoalan mengenai pembatalan tersebut akan dijawab di sidang Parlimen pada 2 Ogos (Isnin), keluar pula surat untuk menangguhkan sidang Parlimen tersebut atas alasan penularan covid-19 di Bangunan Parlimen. Persidangan Dewan Negara yang dijadualkan pada 3 Ogos hingga 5 Ogos juga turut ditangguhkan.
10. Keadaan menjadi sangat celaru. Kerajaan berkata Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan di bawahnya sudahpun dibatalkan. YDP Agong jelas belum perkenan dan menandatangani apa-apa pembatalan. Perkara 150 (8), Perlembagaan menyatakan Makhamah tidak boleh campur tangan dalam hal ini. Mungkin Darurat terbatal secara automatik pada 1 Ogos 2021 selaras dengan apa yang dinyatakan dengan jelas dalam Proklamasi berkaitan, tapi menurut Perkara 150 (7), Perlembagaan Malaysia, Ordinan-Ordinan darurat akan terus berkuatkuasa hingga 6 bulan selepas Proklamasi Darurat dibatalkan.
10. Maka wujudlah satu krisis Perlembagaan yang tidak akan selesai selagi Kerajaan Persekutuan ini tidak menjawab semua persoalan-persoalan yang timbul di arena yang paling sesuai iaitu di sidang Dewan Rakyat dan sidang Dewan Negara.
11. Jika Kerajaan Persekutuan ini yakin dan merasa benar dengan tindakannya setakat ini, beranikanlah diri untuk menghadapi wakil-wakil rakyat di Parlimen. Mereka ini membawa suara rakyat yang begitu menderita dalam masa pandemik covid-19 ini. Berilah keutamaan kepada rakyat. Give priority to life & livelihood of the rakyat. Rakyat inginkan kestabilan dan ketetapan, bukan penderitaan dan kekeliruan.
Senator Datuk Donald Peter Mojuntin
Timbalan Presiden UPKO
Комментарии