KRT Ramayah bawa keceriaan kepada penghuni Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh Tambunan
26 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ramayah Penampang mengadakan lawatan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh Tambunan, baru-baru ini.
Sumbangan yang disampaikan berbentuk beras, pakaian dan barangan makanan.
Program ini melibatkan 30 Ahli Jawatankuasa KRT Ramayah diketuai oleh Pengerusinya Anjela T.Sikijip dan turut disertai Pengerusi Program, Dr. Randolf Paza dan Penasihat, George Ginajim.
KRT Ramayah disambut mesra oleh Sister M Germaine dan kanak-kanak Bondulu Toboh dengan persembahan nyanyian daripada kanak-kanak di rumah itu.
“Saya amat gembira kerana lawatan kami membawa kecerian kepada kanak-kanak di rumah berkenaan.
“Kami dimaklumkan oleh pihak pegurusan Rumah Kanak-Kanak Bondulu bahawa sebanyak RM20,000 diperlukan setiap bulan untuk menampung kehidupan harian kanak-kanak di rumah tersebut.
“Perbelanjaan itu termasuk keperluan penyediaan makanan, tempat tinggal, kemudahan air, elektrik, wifi untuk tujuan pendidikan, elaun pekerja, logistik, penyelengaraan dan penjagaan kesihatan,” kata jurucakap KRT Ramayah.
Rumah Kanak-kanak Bondulu Toboh menempatkan 70 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah daripada pelbagai latar belakang keluarga.
Mereka datang dari pelbagai latar belakang keluarga di seluruh negeri dan dijaga di rumah yang dikendali Gereja Katolik untuk disekolahkan sehingga mampu berdikari.
Sementara itu, Sister M. Germaine merakamkan ucapan terima kasih kepada rombongan KRT Ramayah. “Lawatan ini memberi harapan kepada kanak-kanak di Rumah Bondulu bahawa mereka tidak diabaikan oleh masyarakat".
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh, Tambunan boleh menghubungi Sister M.Germaine melalui 013 8681952.
Selepas itu, KRT Ramayah turut mengadakan lawatan ke KRT Kg. Tibabar Tambunan untuk mengeratkan lagi hubunganbersama KRT kampung itu.
Commentaires