top of page
  • nabalunews

Kursus asas pembuatan aksesori berasaskan tanah liat polimer bantu golongan B40 jana pendapatan




23 September 2024


KOTA BELUD: Kursus asas pembuatan aksesori berasaskan tanah liat polimer yang dianjurkan oleh University College Sabah Foundation (UCSF) dengan kerjasama Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad di sini, diharap dapat memberikan peluang kepada golongan B40 untuk mempelajari kemahiran baru yang boleh diaplikasikan dalam menghasilkan produk kraftangan.


Melalui kemahiran ini, peserta boleh menjual hasil kraf mereka kepada pelancong yang mengunjungi kawasan eko-pelancongan, sekali gus memberi mereka peluang menjana pendapatan sampingan.


Kursus ini berlangsung di Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad pada 17 hingga 21 September lalu dan disertai 40 peserta dari kalangan belia dan penduduk sekitar Kampung Lingkubang.


Menurut wakil UCSF, kursus ini bertujuan untuk menyediakan peluang kepada belia setempat, ahli koperasi, dan penduduk tempatan untuk mempelajari teknik asas pembuatan aksesori menggunakan tanah liat polimer.


Ini adalah sebahagian daripada usaha mempelbagaikan produk kraftangan yang boleh dijual di koperasi atau kawasan eko-pelancongan, menjadikannya cenderahati yang unik dan berkualiti tinggi.


Antara pengisian kursus adalah pengenalan tanah liat dan peralatan di mana peserta diperkenalkan kepada pelbagai jenis tanah liat serta bahan dan alatan yang diperlukan dalam proses pembuatan aksesori berasaskan tanah liat polimer.


Menerusi kursus ini, peserta diajar teknik pembuatan aksesori di mana mereka didedahkan kepada cara-cara menghasilkan aksesori seperti anting-anting, gelang dan rantai kunci (keychain) menggunakan teknik asas.


Peserta juga diajar proses kemasan di mana aksesori yang dihasilkan disapu dengan varnish khas untuk menambah kekuatan, kilauan dan daya tarik visual, memastikan hasil akhir lebih menarik dan tahan lama.


Kursus ini bukan sahaja memperkayakan budaya kraf tempatan tetapi juga membantu dalam memperkasakan ekonomi komuniti setempat.

Comentários


bottom of page