top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP bantu Bubbles O2 kembangkan perusahaan, tembusi pasaran antarabangsa

Ewon menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Pengilangan Baharu Bubbles 02.

22 Ogos 2024

Oleh WartWan Nabalu News


RANTAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk terus membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengembangkan perusahaan mereka sehingga ke pasaran antarabangsa.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini termasuk sokongan berterusan kepada Bubbles O2, syarikat peneraju industri air mineral beroksigen di Malaysia agar terus berkembang pesat.


Beliau berkata, ini penting agar syarikat-syarikat tempatan terus menyumbang kepada ekonomi negara seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


“Bubbles O2 adalah salah satu syarikat yang telah menerima pelbagai bentuk bantuan daripada agensi di bawah KUSKOP seperti SME Corp, SME Bank, dan PERNAS.

 

“Sokongan ini termasuklah pembiayaan, geran, dan program pembangunan bertujuan membantu syarikat ini mengembangkan perniagaannya di dalam dan luar negara.


“PERNAS pada tahun ini telah melabur sebanyak RM5 juta bagi pembelian mesin dan perbelanjaan operasi untuk syarikat Bubbles O2,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Pengilangan Baharu Bubbles O2 Sdn.Bhd, di Kampung Kanchong, Rantau, di sini, hari ini.

Ewon mendengar taklimat ringkas mengenai Bubbles 02, daripada Arifin.

Ewon yakin pembukaan Pusat Pengilangan Baharu ini akan membantu Bubbles O2 terus mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

 

Beliau berkata, syarikat ini berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Indonesia, Dubai, dan Amerika Utara serta merancang meluaskan pasaran ke Eropah dan ASEAN.


“Saya amat berbangga melihat kejayaan PKS seperti Bubbles O2 dan kami komited dalam memastikan usahawan tempatan terus mendapat sokongan yang diperlukan.


“Dalam hubungan ini, Kerajaan khususnya KUSKOP akan terus komited untuk mewujudkan pelbagai inisiatif agar pembangunan usahawan dapat terus diperkukuh seterusnya membentuk Malaysia Madani yang maju dan sejahtera,” katanya.

 

Beliau berharap syarikat ini akan terus memacu kemajuan dalam industri air mineral beroksigen dan menjadi salah satu syarikat yang dapat membawa nama Malaysia di peringkat global.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi PERNAS, Dato’ Hazimah Zainuddin, Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Sdn Bhd Arifin Marzuki, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Dato’ Nainy dan Ketua, Stakeholder Management SME Bank Hamdan Mohd Habibollah.

Ewon melawat kilang pemprosesan minuman mineral Bubbles 02

 

Comments


bottom of page