KUSKOP bantu usahawan PKS, francais terokai pasaran Timur Tengah
8 November 2024
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus berusaha membantu usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan francais untuk mengembangkan perniagaan meneroka pasaran di peringkat global.
Baru-baru ini, KUSKOP dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) mengadakan Misi Perdagangan PKS dan Francais ke Riyadh, Arab Saudi untuk mempromosi produk jenama Malaysia serta meluaskan rangkaian perniagaan usahawan negara ini dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24.
Bagi menjayakan matlamat misi itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengetuai delegasi KUSKOP untuk lawatan kerja ke Riyadh, Arab Saudi selama dua hari.
Ewon turut mengetuai 30 syarikat PKS, francais dan koperasi negara dalam pemeran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi-BIBAN24.
Pada hari pertama, Ewon bersama Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Al-Kassabiah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara dua agensi KUSKOP SME Corp Malaysia dan PERNAS dengan agensi Monsha’at (Small and Medium Enterprises General Authority) Arab Saudi.
Ewon berharap, pementeraian MoU itu akan memperkukuh lagi kerjasama strategik antara dua agensi KUSKOP dalam sektor PKS dan francais dengan agensi PKS di Timur Tengah.
MoU ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia, Rizal Dato' Nainy dan Gabenor Monsha'at Sami Ibrahim Alhussaini.
Ia bertujuan mewujudkan rangka kerja asas bagi kerjasama dalam perkongsian maklumat dan amalan terbaik, dengan tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan program PMKS pertumbuhan tinggi.
Pada hari yang sama, Ewon menyempurnakan pembukaan Pavilion Malaysia sempena Pameran Antarabangsa BIBAN24. Sebanyak 30 syarikat PKS, francais dan koperasi dari Malaysia mengambil bahagian di Pavilion Malaysia sepanjang lima hari ekspo itu.
Kesemua usahawan yang menyertai pameran itu adalah usahawan yang dibangunkan oleh agensi-agensi KUSKOP iaitu SME Bank, SME Corp, PERNAS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan juga Malaysian Franchise Association (MFA).
Pameran ini adalah platform penting untuk mempamer keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global.
Turut diadakan, program padanan perniagaan dan sesi rundingan yang membuka ruang baharu bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan pasaran di Timur Tengah.
“Ini adalah peluang terbesar usahawan-usahawan, syarikat-syarikat francais Malaysia menyertai pameran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi seterusnya merebut peluang meluaskan pasaran atau mengeksport produk mereka di Timur Tengah,” kata Ewon.
KUSKOP menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAM24 di Riyadh Arab Saudi.
Ewon berkata, sasaran itu adalah cerminan komitmen KUSKOP dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi terutama dalam sektor francais dan PKS
Dalam lawatan kerja itu, beliau turut mengadakan beberapa siri perbincangan berprofil tinggi termasuk mesyuarat dengan KUDU Company for Food and Catering, antara jemana francais makanan terbesar di Arab Saudi.
“Saya berharap perbincangan ini akan membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekaligus membantu jenama-jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.
“KUDU memiliki 330 outlet di 45 bandar di Arab Saudi dan mempunyai wawasan untuk menembusi pasaran Asia bermula di Malaysia,” katanya.
Selain itu beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr.Eman Habbas Al-Mutairi bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara
Antara yang dibincangkan ialah usaha meningkatkan langkah-langkah konkrit seterusnya untuk menjana sinergi dalm bidang keusahawanan dan pembangunan industri.
Ewon juga mempengerusikan mesyuarat meja bulat dengan Dewan Perniagaan Riyadh pada hari kedua lawatan (6 November) yang mempertemukan usahawan Malaysia dengan pelabur dan pengusaha tempatan Arab Saudi.
“Dewan perniagaan ini mempunyai sekitar 400,000 usahawan dan pemilik perniagaan di Riyadh serta mempunyai pusat ekspo mereka sendiri.
“Seterusnya saya meluangkan masa meninjau sesi Business Matching di antara syarikat-syarikat Malaysia dengan ahli-ahli Riyadh Chamber of Commerce. Syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil bahagian mempunyai potensi besar menembusi pasaran Arab Saudi,” katanya.
Beliau berharap sesi itu mencetuskan kerjasama perniagaan baharu dan membuka jalan kepada peningkatan perdagangan dua hala.
Pada hari yang sama, Ewon mengadakan pertemuan dengan semua usahawan SME, francais dan koperasi yang mengambil bahagian dalam Pameran BIBAN24.
“Saya menerima maklum balas positif, sambutan yang sangat memberangsangkan daripada para pengunjung, bakal rakan niaga, pembeli dan pelabur yang berkunjung ke Pavilion Malaysia untuk berurusan terus dengan usahawan-usahawan negara ini.
“Saya juga bercamba minda dengan menjemput mereka menyampaikan pengalaman setakat dua hari pertama dalam Pameran BIBAN24 serta pandangan dan cadangan terkait pembangunan pengantarabangsaan usahawan-usahawan SME, francais dan koperasi Malaysia. Saya hargai cadangan-cadangan yang telah dikemukakan kepada saya.
“Saya berharap penyertaan mereka dalam BIBAN24 membuka ruang menembusi pasaran antarabangsa seterusnya menjadi contoh, inspirasi dan motivasi kepada usahawan-usahawan lain untuk mencipta kejayaan yang sama,” katanya.
Ewon juga mengadakan perbincangan strategik bersama pihak Tamimi Market, salah satu rangkaian peruncitan terbesar di Arab Saudi.
“Tamimi Market yang dimiliki oleh Tamimi Group merupakan antara jenama pasaraya yang besar dan mempunyai 164 rangkaian di seluruh Arab Saudi. Terdapat produk daripada Malaysia yang dipamer dan dijual di pasaraya ini.
“Saya telah menjemput Tamimi Market untuk menyertai SME Bank Xcess Program pada tahun 2025 untuk meninjau produk lain Malaysia yang boleh dijual di rangkaian pasaraya itu,” kata Ewon.
Perbincangan-perbicangan semasa misi perdagangan ini akan merintis laluan bagi syarikat Malaysia memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka di pasaran Arab Saudi.
“Penyertaan Malaysia dalam BIBAN24 adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa,” katanya.
Comments