KUSKOP dan MIDE perkukuh kerjasama penyelarasan pembangunan keusahawanan di Sabah

11 Mac 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) terus memperkukuh kerjasama dalam menyelaraskan pembangunan keusahawanan di negeri ini.
Bagi tujuan tersebut, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) Bil. 1/2025 telah diadakan kelmarin di Shangri-La Tanjung Aru.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, dan Menteri MIDE, Datuk Phoong Jin Zhe.
Mesyuarat ini membincangkan pelbagai isu berkaitan keusahawanan serta inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi memperkasakan usahawan di Sabah.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Setiausaha Tetap MIDE Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias dan agensi-agensi kedua-dua kementerian negeri dan persekutuan itu.
Sebanyak enam kertas dibentangkan dalam mesyuarat itu, termasuk skim-skim pembiayaan daripada SME Corp Malaysia, Program Bantuan SME-UP oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Yayasan Hasanah, e-Lesen: Portal Lesen Perniagaan Dalam Talian oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) dan taklimat mengenai cadangan rangsangan pemerkasaan penjualan dagang bagi PMKS Sabah ke Semenanjung oleh TikTok Shop.

Ewon berkata, KUSKOP komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program keusahawanan dan koperasi.
“Pada tahun ini, KUSKOP akan bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui MIDE Sabah bagi menjayakan Program Madani Rakyat (PMR) yang akan diadakan di Tawau pada 9 hingga 11 Mei 2025,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, KUSKOP telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM813.4 juta kepada 53,395 usahawan dan koperasi di Sabah melalui agensi-agensinya iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Selain itu katanya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di negeri ini pada tahun 2024 melibatkan seramai 1,585 usahawan.

“KUSKOP juga telah melaksanakan pembinaan baharu dan penaiktarafan 59 tapak projek Tamu Desa di seluruh Sabah dengan peruntukan sebanyak RM11.78 juta,” katanya.
Ewon berkata, tahun ini, KUSKOP akan melaksanakan Program Khas Ehsan@KUSKOP sebagai usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah.
“Bagi tujuan ini, usaha telah digerakkan melalui Yayasan Bank Rakyat (YBR) untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan eKasih terutama di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat,” katanya.
Mengenai Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, Ewon berkata, dasar itu adalah dasar yang beliau perkenalkan untuk memberi tumpuan lebih kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi Sabah dan Sarawak.
“Tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian ini di seluruh negara, KUSKOP telah menggariskan fokus tambahan kepada Malaysia Timur terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan.
“Antara inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KUSKOP khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS, Biasiswa Kerajaan Sabah untuk Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM),” katanya.
Katanya, KUSKOP juga telah melancarkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) pada 8 Februari 2025 bertujuan memperkukuh ekosistem francais di Malaysia dan memperluas akses pasaran di dalam dan luar negara.
Comentarios