top of page
Wartawan Nabalu News

KUSKOP komited wujudkan insentif untuk usahawan Sabah, Sarawak

6 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited mewujudkan insentif-insentif yang bersesuaian dengan keperluan usahawan dan koperasi di Sabah dan Sarawak di bawah Kerajaan MADANI.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara pelaksanaan program tersebut ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Industri Kraf di bawah TEKUN Nasional, Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus) pembiayaan di bawah SME Corp dan Bantuan PembangunanKoperasi Pelancongan (JEJAK) di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

Beliau berkata, Program Jom Jelajah Koperasi atau JEJAK adalah inisiatif SKM untuk memberikan insentif kepada koperasi yang terlibat dengan industri pelancongan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.


“Melalui program JEJAK, koperasi-koperasi akan dibantu dalam aspek promosi dan pemasaran produk atau perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, hospitaliti dan seni kraf.

“Kita berharap program JEJAK ini dapat membantu meningkatkan penglibatan koperasi dalam merancakkan lagi industri pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.


“Selain itu SKM juga menyedkan Geran Bantuan Pembangunan Koperasi sehingga RM300,000 dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) sehingga RM30 juta,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Program Pembudayaan Komuniti Berkoperasi Zon Kinasaraban, di Dewan Komuniti Kinasaraban, di sini, kelmarin.


Teks ucapan disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan), SKM Negeri Sabah Malisah Sinin.


Ewon yakin, dengan kerjasama gerakan koperasi dan sistem tadbir urus yang baik serta sokongan daripada semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, usaha membangunkan masyarakat dari sudut ekonomi dan sosial mencapai sasaran.

“KUSKOP akan sentiasa bertindak proaktif untuk melaksanakan pendekatan terbaik untuk usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara ini,” katanya.


Mengenai Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) atau Jualan Madani Koperasi (JMK), Ewon berkata, penganjuran jualan itu jelas menunjukkan kerajaan melalui KUSKOP amat prihatin terhadap keperluan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.


“JMKU diadakan sebagai usaha untuk membantu golongan B40 menikmati barangan pengguna pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Pada hari ini diskaun sehingga 50 peratus ditawarkan kepada para pengunjung.


“Potongan harga ini merupakan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan dan saya sendiri sebagai ADUN kawasan Kadamaian.


“Program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang selain Program-program Pembangunan Perniagaan Koperasi sebagai sokongan dan galakan memperkasakan gerakan koperasi,” katanya.

Comments


bottom of page