top of page

KUSKOP lancar Dasar Francais Negara 2030 sempena PIFF2025

Wartawan Nabalu News

Gambar oleh JAPEN
Gambar oleh JAPEN

4 Februari 2025

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) sempena Pernas International Franchise Festival 2025 (PIFF2025) , pada 7 Februari ini.

 

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri mengenai pemusatan ekosistem francais di bawah KUSKOP, kementerian itu telah menambah baik draf Dasar Pembangunan Usahawan Francais 2030.

 

Beliau berkata, dasar sebelum ini yang hanya memberi fokus kepada pembangunan usahawan francais akan ditambah baik merangkumi keseluruhan ekosistem industri francais.


"DFN2030 telah dibentangkan dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 7 Disember 2024 dan akan dilancarkan pada 7 Februari 2025 sempena PIFF2025,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), pada persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen ke-15, di sini, hari ini.

 

Muslimin bertanya pelan terkini KUSKOP pembangunan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 untuk memperkasa ekosistem keusahawanan francais termasuk pemusatan ekosistem francais melalui aspek tadbir urus industri francais serta jumlah inisiatif pembiayaan dan latihan yang disalurkan kepada usahawan francais.

 

Ewon berkata, secara umumnya, terdapat 5 teras, 15 strategi, 30 inisiatif dan 4 sasaran utama yang telah ditetapkan di bawah DFN2030.

 

“Ini selaras dengan usaha membangunkan usahawan francais yang berdaya maju dan mampan melalui transformasi dan pengukuhan jenama francais serta kecekapan tadbir urus,” katanya.

 

Katanya lagi, dalam konteks pembiayaan dan latihan kepada usahawan francais, antara program yang dilaksanakan pada tahun 2024 oleh KUSKOP dan Pernas ialah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM33.11 juta kepada 175 usahawan francais.

 

Selain itu katanya, kementerian dan Pernas juga melaksanakan sebanyak 28 program pembangunan kapasiti dan pemantapan modal insan usahawan francais melibatkan seramai 877 usahawan francais, antaranya seperti program Latihan Pengukuhan Usahawan, Transformasi Keusahawanan Francais dan Roadmap to Franchise.

 

“Mengadakan empat siri Bengkel Kesedaran dan Pengenalan Francais bertujuan memberi penerangan berkaitan Akta Francais 1998, kandungan Perjanjian Francais dan tatacara pendaftaran francais kepada para francaisor dan konsultan francais.

 

“Melaksanakan Enhanced Franchise Development Program (EFDP) yang memberi manfaat kepada 305 usahawan francais melibatkan inisiatif seperti penyertaan dalam pameran francais antarabangsa, padanan perniagaan, bayaran balik kos eksport untuk pendaftaran Intellectual Property (IP) di luar negara dan latihan persediaan bagi pengembangan perniagaan usahawan francais ke peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Ewon berkata, di samping itu, selaras dengan Akta Francais 1998, Lembaga Penasihat Francais telah ditubuhkan bagi menasihati YB Menteri dan Pendaftar Francais mengenai perkara-perkara berkaitan francais.

 

“Lembaga ini juga berfungsi memastikan pandangan holistik dan strategik diambil kira dalam membuat keputusan dan bertindak sebagai penghubung di antara pihak industri dan kementerian dalam mencadangkan dasar dan hala tuju pembangunan industri francais,” katanya.

 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page