top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP luluskan RM650,000 naiktaraf tiga Tamu Desa di Mukim Lasou - Ewon


𝐄𝐰𝐨𝐧 𝐝𝐢𝐬𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭 𝐦𝐞𝐬𝐫𝐚 𝐩𝐞𝐧𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤 𝐤𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐡𝐚𝐝𝐢𝐫 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐦𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐢𝐭𝐮.

6 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan peruntukan sebanyak RM650,000 bagi menaiktaraf tiga Tamu Desa di Mukim Lasou, di sini.


Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata,

daripada jumlah itu sebanyak RM250,000 diperuntukan untuk menaiktaraf Tamu Kg.Takulung dan masing-masing RM200,000 untuk Tamu Lompios dan Tamu Lasou.


“Penaiktarafan tamu komuniti ini penting bagi memberikan keselesaan kepada usahawan-usahawan kecil di kampung memasarkan hasil pertanian mereka seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi sempena Hari Usahawan Tani Lapan Kampung (Kg.Lasou Lama, Kg.Takulung, Kg.Lasou Minunsud, Kg.Lasou Podi, Kg.Lompios, Kg.Gonok Gonti, Kg.Wani dan Kg.Kebidahan), Mukim Lasou Kadamaian, di sini, hari ini.

Ewon menyampaikan sijil pendaftaran kepada Janus Tion wakil Koperasi Taman Tamu Lompios Kota Belud Berhad.

Ewon berkata, secara keseluruhannya sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak bermula tahun ini dan bagi fasa pertama sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf 38 tapak tamu desa di seluruh Sabah.


Mengenai program itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat menjayakan program ini iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), KWSP, PERKESO dan Jabatan Kesihatan.


“Saya berharap taklimat daripada agensi-agensi ini telah dapat memberi penerangan mengenai maklumat program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh setiap agensi tersebut,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, menggalakkan komuniti tani di Mukim Lasou supaya  menubuhkan koperasi bagi mengurus aktiviti keusahawanan dan ekonomi para petani di kampung itu.


“Tahniah kepada Koperasi Taman Tamu Lompios Kota Belud Berhad yang menerima sijil pendaftaran koperasi mereka pada hari ini,” katanya.


Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM13,000 kepada Kampung Lasou untuk membeli 200 kerusi dan pemasangan meter elektrik di dewan kampung itu yang dibina  hasil usaha Pusat Khidmat Adun Kadamaian, beberapa tahun lalu.

Selain itu, sumbangan sebanyak RM2,000 disampaikan kepada Kelab Tarian dan Kebudayaan serta menaja pendaftaran 100 belia di mukim ini bagi membuka akaun KWSP dan sumbangan RM1,000 bagi sambutan Maal Hijrah esok.


Ewon juga menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 50 penerima melalui Program CSR SKM

Comments


bottom of page