KUSKOP pastikan usahawan bumiputera industri halal, fesyen dan tekstil tembusi pasaran antarabangsa
13 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memberikan sokongan kepada usahawan bumiputera dalam industri halal, fesyen dan tekstil bagi memastikan mereka terus berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, bagi mencapai sasaran itu, KUSKOP melalui pelbagai agensinya akan terus melaksanakan pelbagai program bimbingan dan pembiayaan.
Beliau berkata, pada tahun ini, KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah melaksanakan Program Pembangunan Kapasiti Satu Daerah Satu Industri (SDSI) merangkumi industri fesyen dan tekstil tempatan di Kuala Terengganu dan Kuching.
“Ia melibatkan 20 usahawan batik di bawah Koperasi Batik Kraf Terengganu Berhad (KOBATIK) dan 38 usahawan dalam industri aksesori wanita berasaskan seramik di bawah Koperasi Seni Seramik Kenyalang Berhad.
“Selain itu, TEKUN Nasional juga menyediakan pembiayaan khusus untuk usahawan yang menceburi bidang perusahaan kraftangan di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Kraf.
“Bagi tempoh Januari hingga November 2024, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM4.7 juta kepada 218 orang usahawan dalam bidang kraftangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Dewan Negara, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, SME Corp. turut menyediakan pelbagai program pembangunan usahawan seperti program Program Business Accelerator (BAP), Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP).
“Sehingga kini, melalui program-program tersebut, 61 usahawan yang terlibat dalam industri fesyen dan tekstil tempatan, telah menerima bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM2.03 juta.
“Selain itu, Pernas telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM480,000 kepada tiga usahawan francais dalam bidang tekstil pada tahun 2024.
“Bank Rakyat juga telah menyediakan pembiayaan sebanyak RM316.93 juta kepada 58 usahawan yang terlibat dalam industri fesyen dan tekstil.
“Terkini, SME Baru melantik satu anchor dari Industri tekstil yang menawarkan pakej perniagaan kepada usahawan sedia ada dan usahawan baru, di bawah Program Payung Umbrella SME Bank,” katanya.
Ewon berkata, bagi menilai implikasi dan kos perniagaan dalam kalangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), kementerian melalui agensi-agensinya telah melaksanakan kaji selidik secara berkala melibatkan usahawan PMKS.
Katanya, SME Corp. telah melaksanakan kaji selidik secara berkala bagi menilai prestasi perniagaan PMKS serta mengenal pasti cabaran dalam landskap ekonomi semasa.
“Bagi tahun 2024, sejumlah 1,490 responden PMKS telah menyertai Tinjauan PMKS yang diadakan mulai Mac hingga Mei 2024.
“Antara dapatan tinjauan tersebut adalah kos yang tinggi dalam menjalankan perniagaan kekal konsisten sebagai cabaran utama terhadap PMKS,” katanya.
Katanya lagi, SME Bank melalui soal selidik terhadap usahawan SME Bank pada Ogos 2024 hingga November 2024, telah mengenalpasti kenaikan kos perniagaan yang dijangka pada tahun 2025 akan memberi impak kepada perniagaan terutamanya melibatkan kos bahan mentah, tenaga kerja dan logistik.
“Dalam konteks KUSKOP, dapatan kajian ini telah diselaraskan dalam penyediaan Perancangan Strategik KUSKOP tahun 2025 yang antara lain memberi fokus kepada peningkatan akses pembiayaan terutamanya kepada usahawan terjejas,” katanya.
Mengenai industri halal Malaysia ke luar negara terutamanya ke pasaran negara China, Ewon berkata, kementeriannya telah melaksanakan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bertujuan menyediakan akses produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran antarabangsa termasuk di China.
Katanya, pada tahun 2024, sebanyak sembilan misi pengembangan perniagaan usahawan halal telah dilaksanakan melibatkan 143 usahawan dengan merekodkan potensi nilai jualan berjumlah RM255.4 juta.
“Ia merangkumi penyertaan seramai 12 usahawan dalam pameran Export Acceleration Mission in Conjunction with Summer Fancy Food CAEXPO 2024 di China dan berjaya menjana potensi jualan berjumlah RM36.21 juta.
”Bagi tahun 2025, KUSKOP telah merancang penyertaan seramai 28 usahawan dalam pameran Salon International de l'Alimentation (SIAL) Shanghai dan CAEXPO yang dijadualkan pada Mei dan September 2025,” katanya.
Comentários