top of page
nabalunews

KUSKOP perkasa program pembangunan vendor, lahirkan lebih banyak usahawan industri makanan dan minuman tempatan

25 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus proaktif memperkasa usahawan tempatan dengan pelbagai inisiatif yang disediakan oleh Kementerian dan agensinya.


KUSKOP menyambut baik Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober lalu di mana Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menjadi fokus utama kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM40 bilion.

PMKS yang mewakili 96.9% daripada penubuhan perniagaan di Malaysia, menyumbang 39.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan 12.2% kepada eksport negara pada tahun lepas.


Antara inisiatif utama KUSKOP ialah Program Pembangunan Vendor (PPV) dari sektor makanan dan minuman (F&B).


Di bawah program ini, Kementerian komited untuk memastikan usahawan tempatan terus menerima sokongan yang diperlukan.


Justeru, hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, merasmikan pembukaan restoran Hadramawt Kitchen (HK) cawangan ke-4 di bawah inisiatif Program Pembangunan Vendor.


Syarikat Hadramawt Kitchen menyajikan masakan Timur Tengah yang memperoleh 95% bahan mentah dari PMKS tempatan.


Selain itu, syarikat ini merupakan salah satu daripada syarikat Anchor yang mempunyai rangkaian restoran dan mengeluarkan produk Ready-to-Eat dengan kerjasama syarikat Sri Derwina Sdn Bhd.

Ewon turut menyatakan harapan beliau agar syarikat HK memperkasakan lagi program pembangunan vendor bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam industri restoran dan F&B.


Beliau juga telah menyerahkan surat pelantikan vendor kepada syarikat F&B iaitu Palm Fiber Sdn Bhd, Richiamo Coffee Sdn Bhd dan Richiamo Mart Sdn Bhd bagi kerjasama untuk membangunkan produk baharu dan kegunaan ramuan di rangkaian restoran syarikat HK.

Kerjasama antara Kementerian dengan HK telah melangkah ke satu tahap lagi dengan pelancaran cawangan ke-4 Restoran HK pada hari ini.


Perkembangan ini membuka satu peluang yang baik kepada usahawan PMKS tempatan yang membekalkan produk dan perkhidmatan untuk keperluan rangkaian restoran HK.

Comments


bottom of page