KUSKOP Perkasa Suri Rumah Sebagai Usahawan Mikro

26 Februari 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensinya terus komited dalam memperkasakan golongan wanita.
Ia termasuk membantu kumpulan suri rumah untuk terlibat dalam bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelbagai program bimbingan dan latihan telah diperkenalkan.
Katanya, ia merangkumi keseluruhan keperluan keusahawanan termasuk aspek teknologi, kemahiran dan pengurusan perniagaan.
“Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Asas Keusahawanan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Skim Pembiayaan Online Tekun (SPOT) oleh TEKUN Nasional, serta Studio TikTok Shop Live Hub hasil kerjasama TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia.
“Fokus utama adalah memberikan pendedahan kepada teknologi terkini, latihan kemahiran, dan kursus perniagaan bagi meningkatkan daya saing usahawan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurutnya, KUSKOP turut melaksanakan Program RAKYATPreneur B40 (iTekad) oleh Bank Rakyat, program latihan berstruktur dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan di bawah inisiatif ASEAN bersama Korea Selatan, serta Program Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Sehingga kini, lebih daripada 5,000 usahawan wanita mendapat manfaat daripada program dan inisiatif KUSKOP, membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam arena keusahawanan.
“Komitmen ini membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasa usahawan wanita serta memperluaskan keterlibatan masyarakat dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Comments