top of page

KUSKOP raikan 261 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Perkhidmatan

nabalunews

Ewon menyampaikan pingat kepada penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang, turut kelihatan Khairul Dzaimee (kanan) dan timbalan-timbalan ketua setiausaha KUSKOP.
Ewon menyampaikan pingat kepada penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang, turut kelihatan Khairul Dzaimee (kanan) dan timbalan-timbalan ketua setiausaha KUSKOP.

26 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meraikan 261 orang penerima Anugerah Cemerlang (APC) dan Apresiasi Perkhidmatan kepada pegawai yang bakal bersara dalam Majlis Apresiasi KUSKOP 2025, di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Daripada jumlah itu 49 pegawai daripada KUSKOP termasuk seorang penerima pingat perkhidmatan cemerlang dan enam bakal pesara, 85 pegawai daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), 22 pegawai Institut Koperasi Malaysia (IKMa), 75 pegawai TEKUN Nasional dan 24 pegawai SME Corp. Malaysia.


Majlis ini bertujuan mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh pegawai-pegawai KUSKOP serta agensi-agensi di bawah kementerian itu.


Sijil APC disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi dorongan kepada seluruh warga KUSKOP untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang, cekap, produktif dan berintegriti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.


“Setiap warga Kementerian dan agensi tanpa mengira jawatan, mempunyai peranan penting dalam melaksanakan amanah.


“Pada saya, setiap peranan yang dimainkan oleh setiap ahli keluarga KUSKOP amat penting dalam menjayakan setiap dasar dan agenda nasional yang telah ditetapkan.


“Oleh itu, saya berharap penganugerahan ini dapat menyuntik semangat dan mencetus inspirasi kepada seluruh warga kerja Kementerian dan agensi untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat dan negara tercinta,” katanya.


Ewon berkata, Kerajaan MADANI sentiasa mengiktiraf penjawat awam sebagai tunjang utama pembangunan negara.


“Pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah bukti keseriusan kerajaan dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, termasuk pelarasan gaji serta pemantapan aspek kebajikan dan pengurusan bakat,” katanya.


Beliau turut menekankan kepentingan budaya kerja cemerlang serta integriti dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.


Ewon berkata, bagi menjadikan KUSKOP sebagai Kementerian yang cemerlang, perlu ada solidariti dalam pemikiran serta gerak kerja yang konsisten.


“Setiap Ketua Jabatan khususnya dan pegawai-pegawai KUSKOP dan Agensi perlu tahu dan memahami peranan masing-masing dalam memastikan misi dan matlamat Kementerian tercapai.


“Selain itu, budaya kerja berpasukan juga perlu disemarakkan dalam mewujudkan semangat kebersamaan dan motivasi untuk saling membantu memajukan organisasi masing-masing.


“Usahlah berkerja secara “silo” sebaliknya kita bersama-sama atas semangat satu pasukan, satu keluarga memerlukan sinergi dan persefahaman, agar sesuatu usaha kecil yang kita lakukan mampu menzahirkan impak besar dan bermanfaat buat rakyat. “Together we make it happen”,” katanya.


Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, serta pengurusan kanan kementerian dan ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page