top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP salur pembiayaan RM1.044 bilion kepada usahawan Johor dari Jan 2023 - Mei 2024

23 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya telah menyalurkan pembiayaan sejumlah RM1.044 bilion kepada usahawan dan koperasi di Johor dalam tempoh Januari 2023 sehingga Mei tahun ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu sejumlah RM771.4 juta pembiayaan sepanjang tahun lalu, manakala RM272.6 juta disalurkan dari Januari hingga Mei 2024.


Beliau berkata, bagi lima bulan pertama tahun ini Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM81.5 juta kepada seramai 10,672 Sahabat AIM, manakala TEKUN Nasional meluluskan pembiayaan berjumlah RM41.8 juta kepada 2,083 usahawan.


“Bank Rakyat telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM57.3 juta kepada 297 usahawan, SME Bank meluluskan pembiayaan RM91.4 juta kepada 37 usahawan dan Pernas meluluskan pembiayaan francais kepada dua syarikat berjumlah RM660 ribu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Selatan dan Festival Keusahawanan Maju Johor 2024, di Angsana JB Mall, di sini, hari ini.


Program selama tiga hari ini dianjurkan oleh KUSKOP dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negara (BPEN) Johor, Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Melaka dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB).


Mengenai Showcase SDSI, Ewon berkata, ia adalah inisiatif KUSKOP untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang inklusif kepada perusahaan SDSI dan juga usahawan setempat.


Katanya, Showcase SDSI juga menyediakan platform pengkomersialan, menerusi pameran dan jualan produk-produk beridentitikan sesebuah daerah.


“Selain itu, usahawan akan turut didedahkan kepada program-program latihan dan diberikan akses kepada peluang pembiayaan yang ditawarkan oleh KUSKOP serta agensi-agensi di bawahnya.


“Dalam hubungan ini, KUSKOP akan terus komited meneruskan program showcase sebagai pemangkin dalam meningkatkan imej produk serta perkhidmatan SDSI.


“Showcase ini bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan kepada umum bahawa produk SDSI juga berpotensi tinggi untuk menembusi pasaran luar,” katanya.


Ewon berharap, produk-produk SDSI bukan sahaja “jaguh” di rantau ini, tetapi juga mendapat tempat dan permintaan tinggi di peringkat antarabangsa.


Pada majlis ini, Ewon turut menyampaikan bantuan cek pembiayaan dari empat agensi KUSKOP iaitu Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Bank dan Pernas dengan jumlah keseluruhan RM25.7 juta kepada usahawan-usahawan yang layak.

Comments


bottom of page