top of page
nabalunews

KUSKOP salur pembiayaan RM5.757 bilion kepada PMKS dalam tempoh Jan-Ogos 2024: Ewon

14 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya telah menyalurkan pembiayaan sejumlah RM5.757 bilion kepada seramai 261,651 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sejak Januari hingga Ogos 2024.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan itu disalurkan melalui agensi TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank dan Pernas.


Beliau berkata, jumlah usahawan PMKS yang direkodkan sehingga 31 Disember 2023 ialah seramai 1,101,725 orang.


“Manakala, bilangan usahawan informal ialah seramai 955,200 orang pada tahun 2021 berdasarkan Laporan Survei Sektor Informal dan Pekerjaan Informal 2021 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar-PN) dalam sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Muslimin bertanya bilangan terkini usahawan PMKS serta bilangan terkini usahawan informal selepas era pandemik COVID-19 serta langkah Kementerian memastikan para usahawan meningkatkan lagi jualan perniagaan mereka.


Ewon berkata, dalam usaha. meningkatkan hasil jualan perniagaan usahawan, KUSKOP telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif di bawah Perancangan Strategik KUSKOP 2024.


Katanya ia merangkumi beberapa strategi seperti Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan, Peningkatan Akses Pembiayaan dan Perluasan Akses Pasaran.


“Bagi menggalakkan penglibatan usahawan menjalankan perniagaan dalam program-program KUSKOP, kita telah melaksanakan Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU).


“Sehingga 30 September 2024, sebanyak 95 program JMKU telah dilaksanakan, merekodkan jumlah jualan sebanyak RM8.54 juta.


“Selain itu, penganjuran Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Sabah, Perak dan Johor telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.22 juta,” katanya.


Ewon berkata, bagi menggalakkan peningkatan ilmu pengetahuan berkaitan

pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran produk, INSKEN telah melaksanakan Program Bimbingan Bisnes Bumiputera (IBBC), Program Bimbingan Keuntungan Menu (ME) dan Kursus Urus Tunai (KUT) melibatkan 8,308 usahawan sehingga 30 September 2024.


“KUSKOP juga melaksankan program peningkatan kapasiti dan keupayaan PMKS melalui program pembangunan PMKS secara bersepadu dan bersasar seperti Program Pembangunan Kapasiti Vendor 2.0 melibatkan 30 syarikat vendor dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.


“Selain itu, SME Corp. Malaysia melaksanakan Program Business Accelerator (BAP). Sehingga 30 September 2024, seramai 197 usahawan PMKS menyertai program itu, melibatkan peruntukan sebanyak RM34.12 juta,” katanya.


Katanya lagi, bagi membantu usahawan PMKS meluaskan pasaran ke luar negara, KUSKOP dan agensi-agensi telah melaksanakan program galakan eksport dan penyertaan dalam misi perdagangan luar negara.


“Ini termasuklah Program Pengukuhan Eksport PKS (SMEs Go Global) oleh SME Corp. Malaysia dan Program Business Exports Program (BEP) di bawah SME Bank.


“Melalui insiatif ini, KUSKOP telah mengadakan misi pengembangan perniagaan usahawan ke Osaka, Jepun pada 16 hingga 21 September 2024 melibatkan 15 usahawan dan merekodkan potensi nilai jualan berjumlah RM34.89 juta,” katanya.


Bagi membantu penjaja dan peniaga kecil serta usahawan informal, Ewon berkata, KUSKOP telah melancarkan Skim Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniga Kecil (MPPK 2.0) di bawah Bank Rakyat pada 7 September lalu.


Beliau berkata, skim itu menawarkan pembiayaan sifar kadar keuntungan khusus untuk para penjaja dan peniaga kecil.


“Sejak dilancarkan sebanyak RM567,500 telah diluluskan kepada 19 usahawan,” katanya.


Ewon berkata, KUSKOP juga telah memperkenalkan platform MyMall iaitu ruang pemasaran dalam talian secara percuma kepada PMKS dan koperasi tempatan.


“Sehingga September 2024, seramai 2,544 peniaga berdaftar di MyMall melibatkan 2,082 produk dan mencatatkan nilai jualan berjumlah RM8.86 juta,” katanya.

コメント


bottom of page