KUSKOP salur RM346.28 juta pembiayaan PMKS dan koperasi di Negeri Sembilan pada tahun 2024
nabalunews
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_f15cff2bcb5642eebf3579d76d495310~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_f15cff2bcb5642eebf3579d76d495310~mv2.jpg)
13 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan pembiayaan RM346.28 juta kepada 9,937 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di Negeri Sembilan sepanjang tahun 2024.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia menunjukkan peningkatan berbanding RM340.26 juta yang disalurkan kepada 6,451 usahawan dan koperasi pada tahun 2023.
“Pembiayaan ini disalurkan melalui agensi-agensi di bawah KUSKOP, termasuk Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pernas, SME Corp., dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_a7b4bb0c33d441819ca7c5921ff272db~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_a7b4bb0c33d441819ca7c5921ff272db~mv2.jpg)
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Haji Aminuddin Harun di Parlimen, hari ini.
Ewon berkata, KUSKOP turut menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing usahawan serta koperasi di negeri ini.
“Selain pembiayaan, KUSKOP juga menitikberatkan aspek pembangunan kapasiti usahawan dan koperasi.
“Sepanjang tahun lalu, 292 usahawan telah menerima bimbingan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), manakala 123 koperasi dibantu oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa),” katanya.
Manakala dalam Profil 100 Koperasi Terbaik pula, terdapat dua Koperasi Negeri Sembilan yang tersenarai iaitu Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Kawasan Kerangai Penagoh Negeri Sembilan Berhad (Kedudukan ke-36) dan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Gugusan Lakai Negeri Sembilan Berhad (Kedudukan ke-79).
Ewon berkata, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan bagi memperkasa sektor keusahawanan dan koperasi di negeri itu melalui beberapa jawatankuasa.
“Melalui mekanisme penyelarasan yang tersedia iaitu Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN), Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPPK) dan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (M3PK), kita dapat memastikan usahawan dan koperasi di Negeri Sembilan mendapat manfaat daripada pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Comments