Wartawan Nabalu News
KUSKOP salur RM5.19 bilion pembiayaan kepada 292,530 usahawan PMKS dan Koperasi: Ewon
30 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya berjaya menyalurkan pembiayaan kepada 292,530 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Koperasi pada tahun ini melibatkan pembiayaan berjumlah RM5.19 bilion.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pada tahun ini KUSKOP juga berjaya melahirkan 83,361 usahawan PMKS baharu yang kebanyakannya menerima pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Corp, Pernas dan Institut Keusahawanan Negera INSKEN).
Beliau berkata, ia adalah tambahan kepada 1.17 juta usahawan PMKS sedia ada di negara ini.
“Pada tahun ini kementerian juga telah memperkenalkan beberapa program dan inisiatif baharu untuk membangunkan lagi usahawan di negara ini.
“Antaranys Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) khusus untuk para penjaja dan peniaga kecil yang berjualan di tamu-tamu mingguan dan pasar-pasar malam Sabah dan Sarawak.
“Kita bercadang mengembangkan pembiayaan SPUT di seluruh negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai penjaja dan peniaga kecil mendapat pembiayaan itu.
“Kementerian melalui agensi SME Corp juga telah melancarkan Program Pengukuhan Mikro MADANI dengan dana RM100 juta yang memberi manfaat kepada 20,697 usahawan PMKS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual secara langsung menerusi Selamat Pagi Malaysia di TV1, sempena Setahun Bersama Kerajaan Madani: KUSKOP, di Angkasapuri RTM, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pada tahun ini KUSKOP juga telah menggubal pelan tindakan, dasar dan garis panduan berkaitan pembangunan usahawan dan koperasi.
“Kementerian telah melancarkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (2023 -2027), Dasar Koperasi Negara 2023 (DAKOM 2030) dan Pelan Pemformalan Usahawan Informal.
“Selain itu, kita juga meneruskan sokongan perniagaan kepada usahawan francais menerusi Projek Be Your Own Boss (BYOB) dan Business In Transformation (BIT) dengan nilai pembiayaan RM13.69 juta kepada 48 usahawan francais tahun ini.
“Bagi galakan eksport pula, Business Exports Programme (BEP) di bawah SME Bank dan Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) oleh SME Corp dilaksanakan,” katanya.
Katanya lagi, menerusi kerangka Ekonomi MADANI, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan wawasan besar kepada KUSKOP untuk mengantarabangsakan industri PMKS negara dan menjadikannya jaguh serantau.
“Berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah PMKS yang berdaftar di Malaysia setakat Disember 2022 sebanyak 1.17 juta dan daripads jumlah itu 78 peratus adalah perusahaan mikro.
“Jadi kita perlu memberi tumpuan untuk membina perusahaan mikro dan sederhana supaya boleh memberi impak besar bagi mencapai wawasan Perdana Menteri," katanya.
Dalam hal ini Ewon berkata, kementerian akan meningkatkan penyertaan PMKS dan koperasi dalam industri berimpak tinggi (HGHV) untuk pengembangan dalam rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global (GVC).
“Antara industri berimpak tinggi yang dikenalpasti adalah Pertanian Pintar, Aeroangkasa, Peranti Perubatan Elektrik & Elektronik, Automotif, Industri Halal, Minyak & Gas, Bioteknologi,” katanya.
Ewon berkata, bagi mempersiapkan industri PMKS negara ke peringkat antarabangsa, kementeriannya menyediakan garis panduan pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk industri berkenaan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
"Ini memandangkan pasaran besar dunia seperti Amerika, Eropah, Jepun dan Australia mensyaratkan pematuhan ESG sebagai kriteria penting kemasukan untuk mana-mana produk dan perkhidmatan," katanya.
Kommentare