KUSKOP salur RM813.4 juta kepada 53,395 PMKS dan koperasi di Sabah tahun 2024
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_6961d2c576f14195b256a5c705a9ad6c~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_6961d2c576f14195b256a5c705a9ad6c~mv2.jpg)
11 Februari 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sejumlah RM813.4 juta kepada 53,395 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah sepanjang tahun 2024.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan itu disalurkan melalui agensi-agensi KUSKOP termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Selain itu katanya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah sepanjang tahun lalu yang memberi manfaat kepada seramai 1,585 usahawan.
“KUSKOP juga telah memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP untuk membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.
“Bagi tujuan ini, Yayasan Bank Rakyat telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta untuk melaksanakan program ini bermula tahun ini di tiga daerah yang dikenalpasti mempunyai daftar kemiskinan tinggi iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_0067adaa29104f1dac44dea361e94205~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_0067adaa29104f1dac44dea361e94205~mv2.jpg)
“Usaha sedang digerakkan untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan eKasih terutama di tiga daerah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Media Sabah 2025, di Hilton Hotel, di sini, semalam.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, daripada jumlah keseluruhan pembiayaan yang disalurkan di Sabah sepanjang tahun lalu, jumlah pembiayaan di Parlimen Penampang sebanyak RM20.95 juta yang memberi manfaat kepada 478 usahawan PMKS dan Koperasi.
“Manakala bagi kawasan DUN Kadamaian pula, sebanyak RM16.58 juta telah disalurkan kepada 1,683 usahawan dan PMKS, sepanjang tahun lalu.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_2c60037cfd2f423490368264f70e1622~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_2c60037cfd2f423490368264f70e1622~mv2.jpg)
Beliau berkata, Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara: Perspektif KUSKOP juga telah diperkenalkan untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
“Tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian ini di seluruh negara, KUSKOP telah menggariskan fokus tambahan untuk Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan.
“Oleh itu, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KUSKOP khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS,” katanya.
Ewon berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 54 tapak Tamu Desa dibina baharu dan dinaiktaraf di seluruh Sabah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10,286,998.36.
“BEEP PLUS RM8.39 juta yang memberi manfaat kepada 113 syarikat dan SPUT sebanyak RM3,563,000 dengan 893 usahawan menerima pembiayaan daripada skim itu.
“Daripada aspek mekanisme penyelarasan, KUSKOP telah mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sabah melalui pembentukan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah.
“Di samping itu, bagi meningkatkan capaian maklumat, agensi-agensi KUSKOP seperti INSKEN, Pernas, Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan SKM telah membuka dan meningkatkan bilangan cawangan agensi masing-masing di Sabah. Ini termasuk cadangan pembukaan hab PMKS di Sabah oleh SME Corp,” katanya.
Mengenai majlis itu Ewon menghargai peranan media menghebahkan semua inisiatif kerajaan khususnya KUSKOP kepada masyarakat.
“Komuniti PMKS adalah tonggak kepada ekonomi negara, dengan menyumbang kepada 39.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menggaji seramai 7.86 juta pekerja.
“Oleh itu, selaras dengan statistik ini, KUSKOP adalah kementerian yang penting dan para usahawan dan koperasi meletakkan harapan tinggi kepadanya.
“Justeru, saya melihat kerjasama kementerian ini dengan para pengamal media sangat penting dalam membantu meningkatkan hebahan dan penyampaian perkhidmatan KUSKOP,” katanya.
Comments