top of page
Wartawan Nabalu News

KUSKOP sasar RM30 juta potensi pelaburan sempena Misi Perdagangan Francais ke Bangkok


Ewon bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan kerja ke Laundrybar, syarikat francais Malaysia yang beroperasi di Thailand.

12 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


BANGKOK: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM30 juta semasa Misi Perdagangan Francais ke Bangkok sempena Thailand Franchise Business Opportunities Expo (TFBO) 2024, di Bangkok International Trade & Convention Centre (BITEC).

 

Misi selama tiga hari yang akan berakhir esok (13 Julai) itu diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bertujuan mempromosikan syarikat-syarikat francais jenama tempatan ke peringkat antarabangsa khususnya di Thailand yang mempunyai potensi pasaran besar dengan jumlah penduduk seramai 71.6 juta orang.

 

Kelmarin (11 Julai) Ewon merasmikan Pavillion Francais Malaysia sempena TFBO 2024 yang mempamerkan produk dan perkhidmatan tujuh syarikat Malaysia yang terdiri daripada sektor makanan, pendidikan, teknologi dan perkhidmatan.

 

Syarikat-syarikat yang menyertai misi ini adalah D’ Tandoor, FatNinjas, Global Art, IrisPro, MuzArt, Myeongdong Topokki dan Cleanpro.

 

Ketika berucap merasmikan Pavilion Francais Malaysia, Ewon berharap program itu menjadi pemangkin kepada kedua-dua pihak mengembangkan perniagaan melalui pelaburan francais jenama Malaysia di Thailand.

 



Beliau berkata, Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan rapat dan kerjasama baik sejak sekian lama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan antaranya dalam sektor francais dan keusahawanan.

 

Sementara itu, dalam perbincangan meja bulat bersama pihak industri francais di Thailand, Ewon mengalu-alukan kerjasama antara Franchise & Licensing Association (FLA) Thailand dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) untuk memperkasakan pembangunan ‘business-to-business’ komuniti niaga kedua-dua persatuan itu.

 

“Perbincangan ini juga berkenaan dengan perkembangan pembangunan sektor francais di Thailand serta bertukar-tukar maklumat dan pandangan bagi mempertingkatkan lagi kerjasama pada masa hadapan,” kata Ewon.

 

Kemudiannya Ewon dan delegasi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Perdagangan Thailand Phumtan Wechayachi.

 

“Kami membincangkan pemerkasaan kerjasama dalam bidang francais dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Kedua-dua kami juga saling menghargai keinginan dan komitmen untuk pertukaran maklumat dan kepakaran melalui kementerian dan agensi,” katanya.

 

Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel, Pengerusi PERNAS Dato Hazimah Zainuddin, Pengerusi MFA Datuk Dr.Radzali Hassan serta pegawai-pegawai KUSKOP dan Kedutaan Malaysia di Bangkok.

 

Pada lawatan ini, Ewon turut mengadakan pertemuan bersama pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di Bangkok.


Hari ini (12 Julai) beliau mengadakan lawatan kerja ke syarikat francais Cafe Amazon milik syarikat Thailand dan juga ke Laundrybar, syarikat francais Malaysia yang beroperasi di Thailand.

 

Inisiatif ini merupakan kolaborasi KUSKOP bersama MFA, Kedutaan Malaysia di Thailand melalui Kementerian Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

 

Usaha ini bagi merealisasikan Perancangan Strategik KUSKOP 2024 yang bertemakan Usahawan MADANI, Memacu Ekonomi selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia MADANI di bawah tonggak nilai ‘kesejahteraan” yang membawa makna keseimbangan kehidupan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

 

 

Σχόλια


bottom of page