top of page

KUSKOP sedia program dan pembiayaan perkasa usahawan TVET

Wartawan Nabalu News

26 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan program keusahawanan bagi melahirkan usahawan TVET.


Menterienya Datuk Ewon Benedick berkata, ini bagi menyahut aspirasi kerajaan memperkasakan bidang TVET dan selari dengan keanggotaan KUSKOP dalam Majlis TVET Negara.


Beliau berkata, antara program itu ialah Latihan Penempatan Kerjaya dan Keusahawanan bagi Graduan TVET (GRACE), Program Pensijilan Profesional bagi Graduan TVET B40 dan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).


Katanya, program-program itu dilaksanakan oleh kementerian dan agensi-agensi kementerian seperti SME Corp dan TEKUN Nasional.


“Bagi tahun 2025, TEKUN Nasional telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM3 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 200 usahawan TVET,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di sini, kelmarin.


Ewon berkata, program-program itu bertujuan memberi pendedahan awal pengalaman bekerja berasaskan teknikal dan kemahiran serta aspek keusahawanan kepada graduan TVET di syarikat terpilih.


Beliau berkata, pada tahun 2023, Program TUBE bekerjasama dengan institusi pendidikan yang menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti TVETMARA.


Katanya pada tahun 2023, seramai 55 usahawan TUBE TVET menerima geran berjumlah RM1.08 juta dan 129 usahawan TUBE TVET menerima geran bernilai RM1.94 juta melalui pelaksanaan TUBE-X pada tahun 2024.


Mengenai Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang diperkenalkan oleh KUSKOP khusus untuk Sabah, Sarawak, Ewon berkata, sepanjang tahun lalu kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif khusus untuk usahawan di kedua-dua negeri berkenaan.


Beliau berkata, antara inisiatif itu ialah program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah melibatkan 54 tapak dengan peruntukan berjumlah RM10.29 juta dan 39 tapak di Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM7.6 juta.


“Skim Pembiayaan Usahawan Tamu di bawah TEKUN Nasional berjumlah RM3.5 juta kepada seramai 893 usahawan Sabah dan sebanyak RM2.4 juta melibatkan 490 usahawan Sarawak.


“Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS oleh SME Corp. yang memberi manfaat kepada seramai 113 usahawan di Sabah dengan geran bernilai RM8.39 juta dan 50 usahawan di Sarawak melibatkan geran berjumlah RM4.91 juta,” katanya.


Ewon berkata, selain program-program khusus tersebut, secara keseluruhannya, pada tahun 2024, KUSKOP melalui agensi-agensinya telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM813.4 juta kepada 53,395 usahawan PMKS dan koperasi di Sabah.


“Manakala bagi Sarawak pula, seramai 42,689 usahawan PMKS dan koperasi menerima pembiayaan berjumlah RM1.084 bilion,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page