KUSKOP sediakan inisiatif adaptasi pendigitalan, inovasi dan automasi kepada PMKS tangani kos operasi

27 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan beberapa inisiatif adaptasi pendigitalan, inovasi dan automasi kepada usahawan perushaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menangani kos operasi termasuk pemasaran dalam talian.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara langkah itu ialah enyediaan Studio TikTok Shop oleh TEKUN Nasional kerjasama TikTok Malaysia.
“Studio ini disediakan bagi memudahkan usahawan mengadakan penstriman langsung menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan jualan dan
memperluaskan pasaran produk mereka.
“Studio pertama telah dilancarkan di Penampang pada 16 Februari lalu. Selepas ini 12 Studio TikTok Shop Live Hub lagi akan disediakan di pejabat pejabat TEKUN Nasional di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Ewon berkata, usahawan PMKS juga boleh memanfaatkan SME Technology Transformation Fund (STTF) yang disediakan oleh SME Bank bagi mengadaptasi digitalisasi dan automasi operasi perniagaan menggunakan aplikasi IR4.0.
“Sepanjang tahun 2024, seramai 212 usahawan telah menerima pembiayaan STTF berjumlah RM278.09 juta,” katanya.

Selain itu katanya, Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) turut menyediakan modal pembiayaan secara mudah dan cepat untuk usahawan yang menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Sejak tahun 2022 sehingga 2024, seramai 2,184 usahawan menerima pembiayaan SPOT berjumlah RM17.58 juta.
“SME Corp. Malaysia turut menyediakan bantuan geran padanan melalui Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS ((BAP) serta Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) bagi membantu PMKS meningkatkan pengeluaran produk, penjimatan masa dan kos melalui adaptasi digitalisasi dan automasi serta teknologi,” katanya.
Selain itu katanya, bagi meningkatkan keupayaan digital usahawan, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menerapkan elemen digitalisasi dalam program bimbingannya, manakala Program EmpowerPPK oleh KUSKOP memberi pengetahuan kepada penjaja dan peniaga kecil mengenai transaksi digital.
“KUSKOP turut menawarkan platform MyMall, yang menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma, termasuk latihan onboarding bagi usahawan yang terlibat,” katanya.
Comments