top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP sediakan lebih RM8 juta untuk Projek Tamu Desa bagi fasa pertama dan kedua di Sarawak



25 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan lebih RM8 juta untuk melaksanakan Projek Tamu Desa di Sarawak, bermula tahun ini.


Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.995 juta diperuntukkan bagi fasa pertama dan RM7 juta untuk fasa kedua.


“Sebanyak 13 tapak Tamu Desa dikenalpasti di Sarawak untuk dinaiktaraf bagi fasa pertama iaitu di kawasan Satok, Sungai Apong, Taman Marsjaya Baharu, Luak, Tedungan, Kampung Besa Pebahanan, Beluru, Lapok, Batang Ai, Matu, Simunjan, Serikei dan Selangau.


Menyampaikan surat pelantikan


“Projek Tamu Desa ini bertujuan menyediakan atau menaiktaraf ruang niaga atau pusat niaga penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif serta memberi akses pemasaran produk jualan yang lebih berkesan.


“Saya berharap pelaksanaan projek Tamu Desa ini akan meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk setempat melalui peluang berniaga serta mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada penduduk setempat,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) Sarawak, di Raia Hotel Convention Centre, di sini, hari ini.


Ewon berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan secara one-off sebanyak RM10 juta kepada KUSKOP untuk pelaksanaan Projek Tamu Desa, tahun ini di Sabah dan Sarawak.


“Bagi fasa pertama, kementerian memperuntukkan sebanyak RM1.995 juta kepada Sarawak dan RM7 juta bagi Sabah.




“Manakala untuk fasa kedua pula Sarawak akan menerima peruntukan yang lebih besar daripada Sabah iaitu RM7 juta,” katanya.


Mengenai mesyuarat itu, Ewon berkata, dua agenda dibincangkan iaitu Pelaksanaan MPUKPPD dan Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sarawak Tahun 2024.


Katanya, MPUKPPD telah dilaksanakan secara rintis di daerah-daerah negeri Sabah pada tahun lepas dan pada tahun ini KUSKOP berhasrat untuk memperluaskan pelaksanaan Majlis ini di negeri-negeri lain.


“Tahun ini, KUSKOP merancang pelaksanaan MPUKPPD di Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung.


“Dengan adanya Majlis ini, KUSKOP yakin ia dapat membantu usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil untuk membangunkan ekonomi setempat melalui produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berkaitan.


“Seterusnya merapatkan jurang dan meningkatkan kerjasama di antara usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil, pemimpin setempat serta jabatan dan agensi di peringkat daerah,” katanya.


Ewon berharap pelaksanaan MPUKPPD dan Program Tamu Desa mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada Kerajaan Sarawak agar matlamat KUSKOP membantu memperkasa usahawan kecil dan koperasi tercapai.


Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr.Ripin Lamat mengalu-alukan usaha dan komitmen kerajaan persekutuan melalui KUSKOP untuk membantu usahawan Sarawak terutamanya dari segi penyediaan infrastruktur yang lebih kondusif.


“Kami menghargai penyediaan peruntukan untuk Projek Tamu Desa di Sarawak dan akan berusaha memastikan pelaksanaan berjalan lancar untuk manfaat golongan sasaran,” katanya.


Selepas mesyuarat itu, Ewon turut menyampaikan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi Program Pembangunan Tamu Desa di Sarawak.


Turut hadir Datuk Dr.Ripin Lamat, mewakili Timbalan Premier Sarawak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, wakil-wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Pereumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak dan ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP.

Comments


bottom of page