KUSKOP tambahbaik proses pembiayaan kepada usahawan
- Wartawan Nabalu News
- Feb 23, 2023
- 1 min read

23 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi pembiaya di bawahnya sentiasa berusaha menambahbaik proses pembiayaan kepada usahawan.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara langkah itu ialah mengurangkan keperluan dokumentasi, mengurangkan tempoh proses permohonan dan pengeluaran pembiayaan serta menyediakan khidmat nasihat kewangan.
“TEKUN Nasional telah mengurangkan keperluan dokumentasi daripada 17 dokumen kepada empat dokumen sahaja bagi skim pembiayaan TEKUN.
“Tempoh kelulusan pembiayaan juga telah dikurangkan kepada tujuh hari bekerja berbanding 21 hari bekerja serta urusan penyaluran peruntukan kepada usahawan dilaksanakan dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya.

Ewon berkata, bagi SME Bank pula pada tahun 2021 dan 2022, telah memproses permohonan secara purata dalam tempoh 21 hari bekerja berbanding 30 hari bekerja seperti yang ditetapkan dalam piagam pelanggan agensi itu.
Katanya, bagi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula, agensi itu berjaya mengurus tempoh pengeluaran pembiayaan dalam tempoh masa 10 hari berbanding 16 hari seperti yang ditetapkan di peringkat agensi.
“Pernas juga telah mengambil inisiatif untuk mendigitalkan proses permohonan perniagaan di bawah Pernas yang dijangka akan mula digunakan pada akhir tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata, agensi–agensi di bawah KUSKOP yang menawarkan bantuan kewangan seperti TEKUN Nasional, AIM dan SME Corp tidak mengambil kira penilaian CTOS dan CCRIS dalam menawarkan pinjaman dan geran peruntukan kepada usahawan yang menggunakan dana kerajaan.
“Bagi usahawan yang menghadapi risiko kebankrapan atau muflis, KUSKOP melalui INSKEN dan TEKUN Nasional telah mengadakan kerjasama strategik bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam pelaksanaan Program Intervensi: Peluang Kedua.
“Program khas ini menyediakan khidmat nasihat kewangan, membantu menstruktur semula pinjaman serta mewujudkan program bimbingan serta coaching untuk mengurangkan risiko kebankrapan bagi usahawan PMKS,” katanya.
Comments